Rasionalisis 1MDB Kurangkan Penggantungan Kepada Kerajaan - Semasa | mStar

Rasionalisis 1MDB Kurangkan Penggantungan Kepada Kerajaan

KUALA LUMPUR: 1Malaysia Development Bhd (1MDB) perlu dibiar melaksanakan pelan rasionalisasinya agar syarikat itu dapat mengurangkan penggantungan kepada bantuan kerajaan.

"Kami harus diberi peluang melaksanakan pelan rasionalisasi agar kami tidak perlu memohon sokongan (kewangan) tambahan daripada kerajaan," kata Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan 1MDB Arul Kanda Kandasamy.

Beliau berkata 1MDB telah menerima ekuiti langsung bernilai RM1 juta daripada kerajaan pada 2009 dan pada Mac meminjam RM950 juta daripada kerajaan.

Arul Kanda berkata demikian dalam program khas bertajuk 'Bernama TV Bersama Arul Kanda' yang dihoskan oleh Suriati Sanusi serta pengacara bersama Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Ekonomi Bernama, Mikhail Raj Abdullah.

Program akan disiarkan menerusi saluran Astro 502, HyppTV 410 dan www.bernama.com pada 10 malam Rabu.

"Kami sekarang berada di persimpangan, satu situasi yang menuntut pembayaran hutang dan pelaburan dalam perniagaan kami.

"Berdasarkan situasi itu, kami mengadakan perbincangan dengan pemegang saham kami, Kementerian Kewangan, dan kami yakin dengan rancangan kami.

"Opsyen terbaik ialah melupuskan ekuiti dalam Edra Energy atau membawa masuk pelabur baharu ke Bandar Malaysia dalam usaha mengurangkan hutang ke paras yang boleh dikawal," katanya.

Arul Kanda, seorang ahli perbankan yang pernah bekerja di United Kingdom dan Dubai, dilantik sebagai presiden dan pengarah eksekutif kumpulan pada Januari tahun ini selepas Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Hazem Abd Rahman meletak jawatan.

Arul Kanda berkata 1MDB ditubuhkan sebagai syarikat pembangunan strategik dengan wawasan untuk menjadi pemangkin dan merangsang pelaburan langsung asing bagi pihak kerajaan.

"Semasa ia ditubuhkan, kerajaan memutuskan agar 1MDB perlu biaya sendiri menerusi hutang, pinjaman bank dan (dana daripada) pasaran modal.

"Ini bagi mewujudkan disiplin, iaitu apabila anda berhutang anda perlu bayar kadar faedah dan prinsipal selain membebaskan dana kerajaan bagi tujuan lain seperti sekolah dan hospital serta sebagainya," katanya.

Bagaimanapun, masalah timbul apabila aliran tunai yang dijana daripada aset jangka panjang tidak sepadan dengan keperluan jangka pendek bagi melunaskan bayaran faedah dan prinsipal yang sudah tiba masa.

Ini disebabkan terutamanya oleh kegagalan usaha menyenaraikan bahagian penjanaan kuasanya, Edra Global Energy Bhd di Bursa Malaysia.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah jelas bagi melaksanakan pelan rasionalisasi bagi menangani masalah aliran tunai tidak sepadan ini menerusi penjualan ekuiti dalam sesetengah aset 1MDB bagi mengumpul dana.

1MDB , Arul Kanda Kandasamy

Artikel Sebelum

80 Peratus Permukaan LPT2 Dalam Keadaan Baik

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

default image

Teknologi analitik data raya asas pelaksanaan inisiatif kerajaan masa depan – Saifuddin Nasution

PROGRAM Subsidi Petrol merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban isi rumah berpendapatan rendah melalui pengagihan semula subsidi petrol.

default image

15 prinsip tulang belakang untuk capai matlamat WKB2030

LIMA belas prinsip panduan digariskan berasaskan tiga aspek penting iaitu pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan serta negara bersatu, makmur dan bermaruah.

default image

Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sasar rapatkan jurang pendapatan rakyat... ini fakta penting yang anda perlu tahu

EKONOMI negara akan distruktur semula menerusi Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030).

default image

Percutian travel tren janjikan servis 'awesome' dan 1,001 pengalaman menakjubkan!

TRAVEL serata dunia lebih pantas dengan menggunakan kapal terbang tetapi amat menyeronokan jika tren menjadi pilihan.

Artikel Lain