suria

“1MDB Berhantu, Malapetaka” - MP Sungai Petani

Datuk Johari Abdul
KUALA LUMPUR: Isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB ) telah menjadi isu ‘berhantu’ dan ‘malapetaka’ di negara ini.

Ahli Parlimen Sungai Petani (PKR) Datuk Johari Abdul berkata ramai pemimpin politik dan pegawai kerajaan telah menerima kesan sejak isu ini ditimbulkan beberapa tahun lalu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah orang pertama yang mula bercakap tentang 1MDB, akhirnya dia dipenjara.

“Yang kedua isu ini dibawa oleh ‘Pagoh’ (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan Semporna (Datuk Seri Shafie Apdal), apa jadi…mereka juga kena pecat,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di persidangan Dewan Rakyat, di sini, Rabu.

Beliau berkata, 'malapetaka' turut diterima oleh beberapa individu lain seperti bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas timbalan ketua pengarah Cawangan Khas Datuk Abdul Hamid Bador dan beberapa pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengkritik atau mempunyai kaitan dengan siasatan syarikat itu.

“Laporan lengkap 1MDB dibawa kepada Tan Sri Abdul Gani, apa jadi pada dia? Pecat juga dan diganti dengan AG baharu yang sudah berumur lebih 65 tahun.

“Alasan (pecat) dia sakit, walhal dia sendiri tak tahu pun dia sakit,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai pengesahan Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 31 Ogos lalu bahawa tujuh pegawainya yang menyiasat 1MDB telah dipanggil polis untuk disiasat.

“Itulah nama-nama yang menerima malapetaka kalau sebut 1MDB,” katanya.

Dalam pada itu beliau mendakwa, terdapat empat individu yang mendapat ‘rahmat’ apabila menyebut 1MDB.

Mereka ialah Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dimasukkan ke dalam pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam rombakan kabinet Julai lalu.

Johari berkata, isu 1MDB telah dibincangkan di seluruh dunia tetapi tidak di Malaysia.

“Di Malaysia ‘business as usual’, asalkan rakyat tenang, terima dan pasrah mengenainya,” katanya.
1MDB, Datuk Johari Abdul, berhantu

Artikel Lain