suria

Pengurus Petronas ICT Dituduh Terima Rasuah, Bocor Maklumat Tender

Ali Amran ketika dibawa pegawai SPRM ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Shah Alam, Jumaat.

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah, Shah Alam mendakwa seorang pengurus projek syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berhubung tiga pertuduhan menerima rasuah bagi membocorkan maklumat mengenai sebut harga tender syarikat berkenaan dua tahun berturut-turut.

Tertuduh, Ali Amran Alias, 42, mengaku tidak bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan bagi kesalahan pada 2013 dan 2014 itu.

Ali Amran didakwa menerima suapan daripada pemilik syarikat Ahmad Fauzan Hashim sebagai dorongan berkaitan hal ehwal prinsipal tertuduh iaitu membocorkan maklumat sebut harga bagi melayakkan Syarikat Nera Infocom terpilih sebagai kontraktor melaksanakan kerja pemasangan sistem radio UHF Bintulu Crud Terminal (BCOT) di Petronas ICT Tanjung Kidurung, Bintulu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan, ketika siasatan dijalankan tertuduh adalah Pengurus Projek Petronas ICT Sdn Bhd, yang mengendalikan sepenuhnya projek-projek Petronas ICT Tanjung Kidurung, Bintulu. 

SPRM menyiasat isu ini sejak awal tahun ini.

Tiga pertuduhan terhadap Ali Amran adalah seperti berikut - menerima cek Malayan Banking berjumlah RM7,084.60 melalui akaun ibu mertua tertuduh, Rita Luat daripada Ahmad Fauzan pada 10 Oktober 2013 di Hong Leong Bank Seksyen 15, Shah Alam Selangor.

Tuduhan kedua - menerima cek HSBC berjumlah RM14,169.20 melalui akaun ibu mertua tertuduh, Rita Luat daripada Ahmad Fauzan pada 13 Mac 2014 di bank sama.

Tuduhan ketiga - menerima cek HSBC berjumlah RM10,626.90 melalui akaun ibu mertua tertuduh, Rita Luat daripada Ahmad Fauzan pada 9 Mei 2014 juga di bank sama.

Menurut SPRM, tertuduh didakwa di bawah seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 di mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan mana-mana yang lebih tinggi.

Pertuduhan bagi pihak SPRM dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Mahamad Sukri.

Hakim Sabariah Atan membenarkan tertuduh diikat jamin RM21,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan dengan seorang penjamin dan pasport tertuduh diarah diserahkan kepada mahkamah.

Kes ini akan disebut semula pada 30 November 2015.


Ali Amran Alias, Petronas, SPRM

Artikel Berikut

Artikel Lain