suria

GISBH Lantik Rashidi Ganti Ummu Jah

PETALING JAYA: GISB Holdings Sbd Bhd (GISBH) yang diterajui Allahyarham Hatijah Aam ketika hayatnya melantik Rashidi Abdullah sebagai Pengerusi Eksekutifnya yang baharu, berkuat kuasa serta merta.

Pelantikan Rashidi yang juga Timbalan Pengerusi Eksekutif GISBH itu berikutan kematian Hatijah atau lebih dikenali sebagai Ummu Jah, balu kepada pengasas Al-Arqam, Allahyarham Ashaari Muhammad.

Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Lokman Hakim Pfordten memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, sebaik selesai pengebumian Ummu Jah.

Rashidi dilantik menggantikan Ummu Jah berkuat kuasa serta merta.

"Rashidi juga dilantik sebagai Yang Di-Pertua Yayasan Kebajikan dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia berkuatkuasa serta merta menggantikan Allahyarhamah, manakala bagi jawatan-jawatan lain termasuk di dalam struktur lembaga pengarah di seluruh dunia di dalam kedua-dua entiti tersebut tidak berubah," katanya.

Jenazah Allahyarhamah Hatijah, 61, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Putat pada 10.20 pagi.

Kira-kira 1,000 anggota keluarga, kenalan, sahabat handai mula memenuhi Masjid Al-Islah Kampung Putat seawal 9 pagi bagi memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarhamah.

Terdahulu, jenazah beliau telah disembahyangkan di masjid berkenaan.

Kenyataan itu menyebut, Ummu Jah meninggal dunia pada pukul 7.45 malam tadi di Kedah Medical Centre (KMC) akibat sakit jantung.

Menurut Lokman Hakim, pihak syarikat tetap beriltizam untuk memastikan aktiviti perniagaan dan perkhidmatan kedua-dua entiti dapat terus dilaksanakan seperti sebelum ini.

Rashidi Abdullah, Ummu Jah, GISBH

Artikel Lain