suria

Gelaran 'Datuk Seri' Kepada Khir Toyo Ditarik Balik

Dr Mohamad Khir Toyo
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan penarikan balik darjah kebesaran yang membawa gelaran 'Datuk Seri' yang dikurniakan kepada bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo, berkuat kuasa 30 September lepas.

Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata penarikan Keahlian Darjah Kebesaran Seri Paduka Mahkota Selangor (S.P.M.S) Kelas Pertama yang dikurniakan kepada Dr Mohamad Khir pada 2001 diputuskan oleh baginda selepas berunding dengan Dewan Diraja Selangor.

Beliau berkata penarikan darjah kebesaran ini adalah berasaskan kepada keputusan Mahkamah Persekutuan pada 29 September lepas, yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Dr Mohamad Khir atas tuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh tanah dan sebuah banglo di Shah Alam, lapan tahun lepas.

"Memandangkan Dr Mohamad Khir Toyo didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman atas kesalahan yang dipertuduhkan, maka beliau adalah seorang yang tidak lagi layak dan sesuai untuk memegang darjah kebesaran ini," katanya dalam satu kenyataan Jumaat.

Justeru, beliau berkata Dr Mohamad Khir dilarang menggunakan darjah kebesaran serta gelaran 'Datuk Seri' dan pihak lain turut ditegah daripada memanggil beliau dengan gelaran berkenaan memandangkan ia telah ditarik balik.

Mohammed Khusrin berkata Sultan Selangor memandang berat terhadap reputasi penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor terutama dalam kalangan pemimpin negara dan negeri yang terlibat dalam mana-mana salah laku jenayah serta perlakuan tidak berintegriti seperti kesalahan rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata para penerima Darjah Kebesaran Negeri Selangor hendaklah melindungi martabat darjah kebesaran yang dipakai selain memelihara status penerimanya.

"Sehubungan itu, Duli Yang Maha Mulia menasihatkan semua penjawat awam di semua peringkat dan semua lapisan pemimpin, golongan profesional dan pemimpin korporat secara amnya, supaya tidak mudah terpengaruh dengan amalan penyalahgunaan kuasa ataupun membiasakan diri dengan budaya rasuah dalam kehidupan seharian yang impaknya boleh membawa kepada kemusnahan martabat kaum, bangsa, rakyat, agama dan negara," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain