suria

Cabaran Getir Juruterbang APMM Padam Kebakaran Di Sumatera

Pesawat udara milik APMM, Bombardier CL 415 melepaskan air di kawasan kebakaran semasa operasi Ops-Jerebu dalam misi bantuan memadam kebakaran di Sumatera Selatan baru-baru ini.

PETALING JAYA: Jarak ketampakan rendah akibat jerebu yang teruk merupakan antara cabaran getir dilalui juruterbang pesawat Bombardier ketika membantu memadam kebakaran di Sumatera Selatan, Indonesia.

Juruterbang pesawat milik Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) itu, Komander Maritim APMM Azizan Mohd Buang berkata masalah berkenaan menyukarkan tugas mengangkut air di sungai berdekatan untuk dibawa ke kawasan terjejas.

"Ini kerana di sungai terdapat bot kecil nelayan sehingga kami terpaksa menggunakan helikopter Dauphin untuk membuat pemantauan terlebih dahulu sebelum mengangkut air bagi mengelak kejadian tidak diingini," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis menyambut kepulangan pasukan misi bantuan pertama APMM di Subang, di sini Selasa.

Selain itu, suhu panas turut menguji tahap keupayaan 25 pegawai dan anggota APMM yang dihantar untuk melakukan kerja 'water bombing'.

Azizan menjelaskan kawasan kebakaran juga sangat luas melibatkan tanah gambut dengan kedalaman lima hingga 10 meter."Tanah ini mudah terbakar dan apabila kami membuat 'water bombing', kawasan yang dapat dipadamkan hanya di permukaan sahaja tetapi masih terdapat bara di dalamnya.

"Ini menyebabkan api akan marak kembali beberapa hari kemudian dan ia menyukarkan usaha mengawal kebakaran," katanya.

Azizan berkata purata harian pemadaman api mengambil masa empat jam dengan 26 'scooping' dan sejumlah 56,000 liter air digunakan.

Misi pertama itu berlepas ke Sumatera Selatan pada 9 Oktober lepas.

Pesawat yang terlibat dalam misi itu ialah Bombardier CL415 MP dan helikopter AS365 N3 Dauphin milik APMM, selain pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia. - BERNAMA

APMM, kebakaran, Sumatera

Artikel Lain