suria

Uni-MLC Gesa Pencen Pesara GLC Dinaikkan

Shafie BP Mammal

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menimbang cadangan menaikkan bayaran pencen bagi pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kepada RM750 dalam pembentangan Bajet 2016.

Permintaan itu dibuat Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) bersama Kesatuan-kesatuan Sekerja Dalam Syarikat GLC.

Menurut Presiden UNI-MLC Mohamed Shafie BP Mammal, ada dalam kalangan pesara GLC dan penswastaan masih menerima bayaran pencen rendah antara RM150 dan RM250 sebulan.

"Ia jelas tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya dalam kenyataan, Isnin.

Shafie menjelaskan bahawa pesara GLC dan penswastaan disarakan daripada sektor awam pada usia muda.

"Mereka menerima pencen yang rendah kerana gaji akhir mereka pada ketika itu rendah berikutan perkhidmatan kurang daripada 25 tahun," katanya.

UNI-MLC merupakan gabungan lebih 90 kesatuan sekerja awam dan swasta termasuk kesatuan dalam GLC, yang dianggotai kira-kira 350,000 pekerja pelbagai sektor. -- Bernama 

GLC, UNI-MLC, Bajet 2016

Artikel Berikut

Artikel Lain