suria

Dewan Rakyat: Muhyiddin, Shafie Curi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin antara Ahli Parlimen yang menjadi tumpuan pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga yang bermula Isnin.

Buat pertama kali Ahli Parlimen Pagoh itu kembali ke dewan persidangan setelah beliau dilucutkan jawatan sebagai timbalan perdana menteri dan digugurkan daripada Kabinet, Julai lalu.

Beliau yang ditemui ketika sidang dewan berhenti rehat kelihatan tenang, namun keberatan untuk mengulas panjang mengenai persidangan kali ini.

"Semua ok. Saya ikut apa yang sudah disediakan di Parlimen.

"Ikuti persidangan Parlimen, kamu akan lihat sama ada saya akan bercakap atau tidak mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) 1MDB," katanya ketika ditanya tentang tempat duduknya dan isu itu.

Persidangan kali ini menyaksikan tempat duduk Muhyiddin berubah, tidak lagi ditempatkan di sebelah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seperti kebiasaannya. Tempat duduknya diganti dengan Datuk Seri Dr Ahmad ZAhid Hamidi yang dilantik Najib sebagai timbalannya.

Sebaliknya Muhyiddin ditempatkan sebaris dengan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan (BN-Keningau) dan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang).

Sementara itu, Datuk Seri Shafie Apdal yang turut digugurkan daripada kabinet berkata, tempat duduk tidak menjadi masalah bagi beliau, sebaliknya sejauh mana peranan yang boleh dimainkan sebagai Ahli Parlimen.

“Di mana kami duduk tak jadi masalah, yang penting peranan sebagai Ahli Parlimen.

"Bagaimana cara terbaik yang boleh disumbangkan untuk suarakan akar umbi dan rakyat, serta pastikan negara berada di landasan yang betul,” katanya.

Mengenai isu undi tidak percaya kepada Najib, beliau berkata ia adalah satu permainan nombor.

"Itu saya ingat kebebasan mana-mana pihak di Parlimen.

“Saya tak pasti tentang nombor itu, tapi undi tak percaya adalah permainan nombor,” katanya.

Katanya, beliau juga akan membangkitkan isu 1MDB bila tiba masanya dan jika diberi peluang.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain