suria

Lelaki Maut Motosikal Langgar Kerbau

IPOH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya melanggar kerbau di Jalan Selama-Sungai Siputeh, Kampung Banggol Jas dekat Selama, Ahad malam.

Ketua Polis Daerah Selama DSP Loo Lian Lay berkata mangsa Hisyam Abdul Rahim, 25, dari Simpang Tiga, Sungai Bayor, maut di tempat kejadian dalam nahas yang berlaku pada pukul 12.05 tengah malam. 

"Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari Sungai Bayor ke Selama. Sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai telah melanggar seekor kerbau yang sedang melintas jalan. 

"Mangsa tidak sempat menghentikan motosikalnya ketika kerbau itu melintas dihadapannya lalu mangsa jatuh di atas jalan raya," katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin. 

Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kerana dipercayai tidak memakai topi keledar ketika menunggang motosikal.

Loo berkata mayat dibawa ke Hospital Selama untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Beliau juga menasihati penduduk di sekitar kawasan itu yang memelihara binatang peliharaan agar tidak membiarkan ternakan itu berkeliaran di jalan raya hingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya.

langgar kerbau, maut

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain