suria

Bicara Kes Saman Terhadap Rafizi, Malaysiakini Mulai 8 Disember

Mohd Rafizi Ramli.

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail terhadap Naib Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli dan Malaysiakini berhubung kenyataan berkaitan pinjaman membeli hartanah KL Eco City, akan bermula 8 Disember ini. 

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi, Azizul Azmi Adnan menetapkan tarikh itu dengan dihadiri peguam Noor Farhah Mustaffa mewakili Mohamad Salleh yang merupakan pengerusi eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) dan syarikat berkenaan selaku plaintif.

Prosiding di dalam kamar itu turut dihadiri peguam Razlan Hadri Zulkifli, mewakili Mohd Rafizi dan pemilik portal berita Malaysiakini iaitu Mkini Dotcom Sdn Bhd yang dinamakan sebagai defendan dalam kes saman fitnah yang difailkan pada 3 Jun 2013.

Razlan Hadri ketika ditemui pemberita berkata mahkamah menetapkan 8, 9, 10, 11 dan 16 Disember untuk perbicaraan kes itu sebelum tarikh bicara sebelum ini pada 26 Oktober dilapangkan.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohamad Salleh mendakwa pada 7 Mac 2012, Mohd Rafizi mengeluarkan kenyataan fitnah pada sidang akhbar di ibu pejabat PKR berhubung pembelian hartanah KL Eco City dan berita itu disiarkan dalam Malaysiakini pada hari sama.

Mohamad Salleh mendakwa saman itu dibuat berikutan kerugian yang ditanggung beliau berikutan pembohongan, maklumat yang mengelirukan, pendedahan maklumat sulit perbankan dan fitnah oleh defendan.

Sehubungan itu, Mohamad Salleh memohon ganti rugi am, teladan dan ganti rugi teruk, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga memohon injunksi bagi menghalang defendan daripada terus mengelirukan dan menipu orang ramai berhubung isu pinjaman itu. - Bernama

Artikel Lain