suria

Culik: Tiga Suspek Didakwa Hari Ini

KAJANG: Tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia yang ditahan susulan kes penculikan seorang kanak-kanak lelaki berusia lima di Sungai Chua minggu lepas didakwa di Mahkamah Majistret di sini, Jumaat.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga tertuduh selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Abdul Jalil Salam Muhamad. 

Tertuduh, Mohd Saifulamry Jarkasi, 28; Siow Kek Keong, 44 dan warga Indonesia, Riduansyah Yahya, 32 yang diiringi polis tiba di luar kompleks mahkamah pada kira-kira pukul 9 pagi.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama menahan dan mengurung kanak-kanak berkenaan.

Kesalahan didakwa dilakukan untuk mendapatkan wang tebusan RM300,000.

Ia didakwa dilakukan di tepi Jalan Seroja, Taman Setia, Sungai Chua Kajang, Selangor kira-kira 9.26 pagi, 9 Oktober lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 3(1), Akta Penculikan 1961 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Jika tidak dikenakan hukuman berkenaan tertuduh boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup sebat.

Majistret menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes itu.

Pihak polis berkata pemandu teksi, Hanizan Mohamed Radzi yang turut ditahan pada minggu lepas, bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan pada pukul 11 pagi.

Pada Khamis, polis dengan rasminya mengesahkan Hanizan tidak terlibat dalam kes penculikan itu dan mereka tidak menjumpai sebarang kaitan antara Hanizan dan tiga suspek yang lain.

Kanak-kanak lelaki itu dibebaskan dan dihantar pulang kepada keluarga mangsa selepas lapan jam hilang dan rakaman CCTV susulan penculikan itu menjadi viral di media sosial.



culik, Sungai Chua, Kajang

Artikel Lain