suria

Persidangan WIP Asean 2015 Mampu Lonjak Kedudukan Wanita BN

Shahrizat Abdul Jalil

KUALA LUMPUR: Golongan wanita yang menceburi bidang politik tentunya tidak boleh menolak pentingnya dunia digital untuk terus relevan dan berperanan dalam landskap semasa sesebuah negara.

Menyedari hakikat ini, Wanita Barisan Nasional (BN) telah mengambil inisiatif menganjurkan program peringkat antarabangsa yang dinamakan Persidangan Wanita Dalam Politik (WIP) Asean 2015.

Mengangkat tema "Mempromosi Pemimpin Menerusi Salinghubungan dan Inovasi " (Promoting Representation Through Connectivity and Innovation) ia dijangka bakal melibatkan lebih 2,000 penyertaan perwakilan dari Malaysia dan 10 negara Asean dengan empat penceramah terkenal dari dalam dan luar negara yang  diundang.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata, persidangan ini dianjurkan setelah menyedari kepentingan wanita yang menceburi bidang politik, khususnya Wanita BN mempunyai pengetahuan dan mahir dalam dunia digital dan ICT untuk terus bertahan.

“Fokus kita dalam persidangan ini untuk membawa kesedaran kepada semua pihak, khususnya wanita dalam politik masa kini dan hadapan, jika kita mahu berjaya dalam politik maka wanita mesti tidak ketinggalan dalam penggunaan ICT dan perkara-perkara berkaitan Internet.

“Kalau kita tidak memimpin dan membawa pembaharuan dari segi ICT, sebagai pemimpin wanita atau ahli yang berkempen untuk memenangkan parti dalam pilihan raya akan dibelakangkan,” katanya kepada mStar Online pada temuramah khas menjelang persidangan yang akan berlangsung pada 16 dan 17 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.

Shahrizat yang juga Ketua Wanita Umno berkata, sudah tiba masanya untuk wanita dalam politik, terutama di Malaysia, khususnya wanita BN, mengambil serius isu ini jika mahu menang dalam pilihan raya.

Katanya, walaupun jentera wanita dalam parti dilihat telah ‘berumur’, mereka sebenarnya mempunyai potensi dan bakat untuk memimpin dalam bidang digital.

“Di Malaysia memang Wanita BN hebat dalam cara kita memimpin dan berkempen, ini sudah membawa kemenangan kepada parti kita, tapi pada masa hadapan ia tak mencukupi.

“Saya harap melalui persidangan ini kita akan menggilap lagi semangat mereka dan saya percaya apabila kita bersedia untuk Pilihan Raya Umum ke-14, Wanita Umno juga akan mendahului dalam bidang digital ini,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak empat topik telah ditetapkan pada persidangan itu, merangkumi empat aspek penting yang difikirkan perlu diberikan fokus menjelang PRU-14.

Empat aspek itu ialah wanita dan bidang digital, wanita dan polisi negara, semangat perjuangan wanita dan perhubungan wanita dengan generasi muda.

Katanya, antara topik menarik pada persidangan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak  adalah ‘Power Of 51: Women At The Epicentre Of Winning Elections yang akan disampaikan oleh Ketua Nasional, Informasi dan Teknologi Bharatiya Janata Party (BJP), India, Arvind Gupta.

Katanya, jika tidak ramai wanita menceburi bidang politik, secara tidak langsung suara wanita dalam sesebuah negara akan menguncup dan kaum lelaki tidak boleh dipersalahkan.

“Power of 51 adalah angka sasaran untuk golongan wanita seperti  perjawatan, pencalonan, kependudukan dan sebagainya. Jika ada angka itu, saya percaya wanita boleh ke hadapan.

“Di Malaysia, jika tak ada perjuangan wanita dalam politik memang susah wanita nak pecahkan dominasi dalam sesuatu bidang, sebab dalam perjuangan politik, wanita yang membina lebuhraya atau ekosistem untuk wanita berjaya,” katanya.

Selain itu katanya, persidangan ini juga diadakan untuk mengembangkan rangkaian wanita dalam politik di rantau Asean, selaras dengan visi Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Asean 2015.




Artikel Lain