suria

Fakta Mengenai Peluru Berpandu BUK Tembak Jatuh Pesawat MH17

KUALA LUMPUR: Berikut beberapa maklumat mengenai sistem peluru berpandu BUK jenis 9N314M darat ke udara yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 di timur Ukraine, tahun lepas.

Peluru berpandu itu diperkenalkan pada 1979 buatan Soviet Union, dengan unit lengkapnya terdiri daripada kenderaan pengendali, radar sasaran dan beberapa jentera membawa peluru berpandu.

Menurut laporan Lembaga Keselamatan Belanda, peluru berpandu itu adalah untuk sistem pertahanan udara yang terdiri daripada komponen berbeza dalam pelbagai model dan konfigurasi.

"Peledak untuk sistem senjata ini diisi dengan serbuk peledak yang dikelilingi dua lapisan serpihan yang terbentuk.

"Sistem peluru berpandu BUK darat ke udara ini boleh mencapai ketinggian 80,000 kaki atau 24.4 kilometer, jauh melepasi ketinggian 33,000 kaki (10.1km) yang dilalui MH17 ketika itu," demikian menurut ringkasan laporan 20 muka surat mengenai tragedi MH17 itu.

Laporan itu diperoleh secara dalam talian menerusi laman web  http://cdn.onderzoeksraad.nl/documents/brochure-mh17-crash-en.pdf, SElasa.

Lembaga Keselamatan Belanda melaporkan serpihan yang ditemui di pesawat dan mayat tiga anak kapal terdiri daripada keluli tanpa campuran aloi.

Menurutnya serpihan itu adalah dalam bentuk kiub dan 'bow-tie'.

"Jumlah kesan, corak tebaran serpihan dan bentuk objek berkuasa tinggi yang ditemui selari dengan serpihan yang ada di peledak jenis 9N314M," katanya.

Agensi berita Deutsche Presse Agenture (DPA) memetik Institut Strategik Antarabangsa yang berpangkalan di London sebagai berkata tentera Ukraine memiliki lebih daripada 60 peluru berpandu BUK-M1 pada 2014.

Sebaliknya, Ukraine baru-baru ini mendakwa mereka tidak lagi memiliki sistem BUK, manakala Rusia mempunyai kira-kira 350 pelbagai jenis, kata DPA.

Pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine juga dilaporkan mempunyai peluru berpandu BUK, kata agensi berita itu.

Pesawat MH17 ditembak jatuh di wilayah bergolak Ukraine berhampiran  sempadan Rusia pada 17 Julai 2014.

Kesemua 283 penumpang dan 15 anak kapal pesawat yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur itu, terkorban.
MH17, peluru berpandu, BUK, 9N314M

Artikel Lain