suria

Malaysia Mahu Terus Tuntut Keadilan Untuk Mangsa MH17

Liow Tiong Lai

PETALING JAYA: Malaysia tidak akan berhenti sehingga keadilan atas kematian mangsa tragedi pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) pesawat MH17 dicapai, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, Malaysia bekerjasama dengan Pasukan Penyiasat Bersama MH17 (JIT) untuk mewujudkan mahkamah antabangsa berhubung isu ini.

"Malaysia bersama rakan JIT iaitu Belanda, Belgium, Ukraine dan Australia bekerjasama bagi mencapai persetujuan untuk mewujudkan mahkamah antarabangsa bebas untuk menghasilkan mekanisme pendakwaan yang berkesan terhadap pihak bertanggungjawab," katanya menerusi kenyataan, Selasa.

Pada Selasa, Lembaga Keselamatan Belanda mengeluarkan hasil laporan mengesahkan MH17 ditembak jatuh menggunakan peluru berpandu BUK di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Tiong Lai berkata, walaupun usaha untuk membawa kes itu ke tribunal antarabangsa menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditolak, Malaysia akan terus berusaha untuk mendapatkan keadilan untuk MH17.

Pada Julai, Rusia menolak resolusi PBB untuk mewujudkan Tribunal Antarabangsa Jenayah untuk MH17.

Kata Tiong Lai lagi, matlamat utama Malaysia adalah untuk membawa pihak bertanggungjawab dalam kemalangan yang mengorbankan 298 mangsa itu ke muka keadilan.

MH17, Liow Tiong Lai, Ukraine

Artikel Sebelum

Ditetak Kerana Tegur Buat Bising

Artikel Lain