MH370: Hentikan Sebarang Spekulasi - DCA - Semasa | mStar

MH370: Hentikan Sebarang Spekulasi - DCA

Bahagian sayap pesawat MH370 yang ditemui di Pulau Reunion baru-baru ini.

PETALING JAYA: Jabatan Penerbangan Awam (DCA) menggesa semua pihak supaya tidak terus membuat spekulasi berkaitan MH370 kerana ia boleh memberi tekanan kepada keluarga dan orang tersayang yang menunggu berita berkaitan pesawat hilang itu.

Berhubung laporan polis mengenai penemuan bangkai pesawat dengan bendera Malaysia yang ditemui di pulau di selatan Filipina, jabatan itu berkata, pihaknya akan memaklumkan ahli keluarga penumpang dan anak kapal pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) itu perkembangan semasa berkaitan pesawat berkenaan.

Menurut jabatan itu, pihaknya bekerjasama rapat dengan polis dan pihak berkuasa di Filipina sebaik laporan berkaitan penemuan bangkai pesawat itu dibuat.

Kedua-dua polis dan pihak berkuasa Filipina bagaimanapun menolak dakwaan itu selepas pemeriksaan mendapati tiada kesan pesawat berkenaan ditemui di kawasan kepulauan itu.

"Kami menghargai sokongan pihak berkuasa Filipina, juga kepada semua negara yang selama ini membantu kita," kata DCA menerusi kenyataan pada Selasa.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac tahun lalu.

Pada September, pihak pendakwaan Perancis mengesahkan sebahagian sayap pesawat berkenaan ditemui di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi.

DCA , MH370

Artikel Berkaitan