suria

Iran Berminat Tarik Lebih Ramai Pelajar Malaysia

KUALA LUMPUR: Iran berminat mengadakan kerjasama dengan universiti tempatan bagi menarik lebih ramai pelajar Malaysia belajar di republik itu.

Ia berikutan bilangan pelajar Malaysia di negara itu secara nisbah terlalu rendah iaitu hanya 15 orang berbanding kira-kira 5,000 pelajar Iran di Malaysia.

Pengarah dan Kaunselor Saintifik Pelajar Iran di Asia Timur, Dr Abbas Ghanbari berkata, pihaknya bersedia memudahcara dan membantu menghubungkan universiti Malaysia dengan universiti terbaik di Iran selain mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan kerjasama.

Bercakap kepada Bernama dalam temuramah di Kedutaan Iran baru-baru ini, beliau berkata, faktor bahasa sepatutnya tidak menjadi penghalang kerana para pelajar boleh mengambil kursus bahasa Parsi.

Ia sama seperti keadaan pelajar Malaysia yang ingin menyambung pengajian ke Yemen dan Mesir dengan mempelajari bahasa Arab terlebih dahulu, jelasnya apabila ditanya mengenai sama ada bahasa boleh menjadi masalah kepada pelajar Malaysia yang berhasrat menyambung pelajaran di Iran.

"Kita perlu belajar ilmu kerana ilmu itu sendiri, bukan kerana melalui medium. Sebagai contoh jika anda perlu belajar bahasa Arab dahulu, kemudian belajar untuk mendapatkan ilmu," kata Ghanbari.

Beliau berkata, melalui belajar di negara lain hubungan dua hala boleh diperluaskan dan ia sejajar dengan diplomasi baru Kementerian Sains, Penyelidikan dan Teknologi iaitu "Diplomasi Saintifik" yang menggunakan sains, ilmu, penyelidikan dan teknologi sebagai asas mengeratkan hubungan antara negara.

"Kami mahu menggunakan ini sebagai asas kepada hubungan antara negara," katanya.

Ghanbari turut mengambil perhatian hasrat Malaysia menjadi hab pendidikan serantau dan ekonomi berasaskan pengetahuan bertaraf dunia dengan melancarkan strategi baru pendidikan tinggi negara: Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) yang dikeluarkan pada April lalu.

Katanya, dalam aspek tersebut Iran sudah bersedia memenuhi aspirasi Malaysia mencapai sasaran 200,000 pelajar antarabangsa menjelang 2020 dan sebagai imbalan berharap lebih ramai pelajar negara ini belajar di Iran.

"Pada masa sekarang kami tahu ada 20,000 pelajar Malaysia di Timur Tengah, sebagai contoh 9,000 di Mesir, 600 di Yemen dan ramai lagi di Arab Saudi dan Turki. Jadi sudah pasti kami mahu lebih ramai pelajar dari Malaysia bagi meningkatkan lagi hubungan," jelas beliau.

Laporan menyatakan terdapat kira-kira 80,000 pelajar Malaysia di luar negara termasuk kira-kira 11,000 di Britain dan 8,000 di Amerika Syarikat.

Ghanbari berkata, pelajar Malaysia yang berminat belajar di Iran boleh mengikuti kursus teknologi maklumat, perubatan, teknologi nano, satelit, angkasa lepas dan alam sekitar, antara lainnya.

Pada masa sekarang Iran mempunyai kerjasama saintifik dengan beberapa negara termasuk Rusia, Perancis dan United Kingdom dan beliau berharap kerjasama serupa boleh diadakan di Malaysia.

Beliau memberitahu pelbagai memorandum persefahaman telah ditandatangani antara Iran dan Malaysia sebelum ini tetapi ia sudah tamat tempoh.

Iran, Malaysia, Pelajar

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain