suria

Liong Sik Belum Jawab Tuntutan Najib Secara Rasmi - Peguam

Ling Liong Sik.

KUALA LUMPUR: Bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik masih belum menjawab secara rasmi tuntutan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memohon maaf dan menarik balik kenyataan fitnah terhadap perdana menteri.

Peguam Datuk Hafarizam Harun yang mewakili Najib berkata Liong Sik masih mempunyai masa untuk berbuat demikian sehingga Isnin ini kerana tempoh yang diberi adalah selama tujuh hari.

Katanya Liong Sik berkemungkinan telah berunding dengan peguam dan pihaknya hanya akan melakukan tindakan seterusnya selepas tempoh tersebut.

"Kita tunggu sehingga tujuh hari. Kita tunggu hitam putih (secara rasmi). Kita hantar secara rasmi, kita tunggu jawapan rasmi. Saya yakin Liong Sik akan balas. Sehingga kini saya masih belum memperoleh apa-apa jawapan," katanya ketika ditemui di Kompleks Mahkamah Jalan Duta.

Pada 5 Oktober lalu, firma guaman Messrs Hafarizam Wan and Aisha Mubarak diarahkan oleh perdana menteri supaya mengambil tindakan dan menuntut penarikan balik, permohonan maaf dan ganti rugi berhubung kenyataan yang diterbitkan menerusi artikel bertajuk 'MCA's Liong Sik Joins Call For Najib's Ouster For allegedly Putting People's Money in His Own Pocket'.

Artikel itu disiarkan Malay Mail Online pada 3 Oktober lepas dan masih boleh dilayari masyarakat umum menerusi jaringan sejagat.

Najib memfailkan tindakan tersebut atas kapasiti peribadi dan surat tuntutan itu diserahkan di rumah Liong Sik di Bukit Damansara. - BERNAMA

Ling Liong Sik, Najib Tun Razak

Artikel Lain