suria

Pensyarah UPSI Maut Kemalangan

GUA MUSANG: Pensyarah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak, Prof Dr Mohamad Suhaily Yusri Che Ngah maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 13.5 Jalan Gua Musang-Kuala Krai di sini, malam Khamis.

Dalam kejadian 8.45 malam itu, mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Lak Loh, Kuala Krai untuk membuat persiapan majlis penyerahan 11 rumah bantuan banjir yang dijadual dirasmikan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed esok.

Kejadian itu berlaku membabitkan tiga kenderaan termasuk Perodua Myvi yang dipandu mangsa, kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux dan Proton Saga mengorbankan Mohamad Suhaily Yusri, 42, manakala tiga cedera dan enam yang lain tidak mengalami kecederaan termasuk kanak-kanak dua beradik.

Mangsa yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bencana ResQ UPSI berasal dari Kampung Wakaf Bunut, Limbongan, Pasir Puteh, aktif dalam program bantuan mangsa banjir, meninggal dunia di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

Mangsa yang cedera ialah penumpang kereta pensyarah itu yang juga pelajar UPSI, S. Mathiswrman, 19, pemandu kenderaan Toyota Hilux, Abdullah Salleh, 51, dan penumpangnya, Liza Haryati Abu Bakar, 38.

Mereka yang terselamat, dua beradik anak kepada Liza Haryati, Nik Mohammad Adam Nik Mohamad Sharifuddin, 9, adiknya, Nik Mohammad Adeeb, 4, pemandu Proton Saga, Mohamad Izuadin, 21, dan tiga lagi penumpangnya.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Supt Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian kemalangan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Bercakap kepada pemberita, Mathiswrman berkata beliau tercampak keluar dari kereta yang dipandu mangsa ketika dirempuh Toyota Hilux dari belakang.

Katanya, beliau tidak panik tetapi terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan pensyarahnya yang tersepit dalam kereta berikutan dia (Mathiswrman) mengalami kecederaan dan patah paha kanan.

"Saya melihat Prof tersepit di tempat duduk pemandu dalam keadaan berlumuran darah dan saya hanya mampu meminta orang ramai membantu saya dan pensyarah.

"Sedih hati saya dan sungguh malang...kerana tidak sempat sampai ke destinasi di Kampung Lak Loh, berikutan ramai rakan-rakan menunggu di sana," katanya.

Menurut Mathiswrman, pensyarahnya meminta untuk memandu sendiri kereta bagi meneruskan perjalanan ke Kampung Lak Loh selepas berhenti makan di sebuah restoran di bandar Gua Musang.

"Saya memandu kereta itu dari UPSI Tanjung Malim ke bandar ini dan berhenti rehat sambil makan sebelum bertolak semula jam 8.30 malam menuju ke Kampung Lak Loh," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarganya awal pagi ini untuk dikebumikan di kampungnya di Pasir Puteh.

UPSI, Gua Musang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain