suria

Kami Tak Perlukan Ali Tinju - Imigresen

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka mampu mengurus institusinya sendiri dan menegaskan mereka tidak memerlukan orang seperti Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju untuk mempertahankan tugas mereka.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen Negeri, Abu Bakar Sidek Hassan mengingatkan bekas tentera itu supaya tidak menggunakan insiden pada 30 September lalu sebagai alasan untuk mengadakan perhimpunan yang dirancang pada Sabtu ini.

Abu Bakar berkata pihaknya menyifatkan insiden berkenaan sebagai bahaya dalam menjalankan tugas dan menolak sebarang unsur perkauman dalam kejadian yang menyaksikan kira-kira 40 samseng menyerang pegawai-pegawainya dalam satu serbuan di sebuah kedai karaoke di Taman Melaka Raya.

Abu Bakar Sidek Hassan

"Kita tidak mahu melihat kejadian itu dimanipulasi sebagai isu politik atau kaum. Pegawai saya dan saya sendiri hanya menjalankan tanggungjawab kami dengan cara profesional untuk menghapuskan kewujudan pendatang tanpa izin di kawasan itu berikutan maklumat awam," katanya.

"Kami tidak memerlukan orang-orang seperti Ali Tinju untuk mempertahankan tugas dan peranan kami," katanya.

Menurut Abu Bakar, tiada seorang pun daripada anggotanya bertindak menyuarakan rasa tidak puas hati kepada Mohd Ali berhubung serangan itu.

"Anggota saya dikonfrontasi semasa serbuan dan kami tidak pernah mengadu mengenainya. Kami menganggap ia sebagai risiko.

"Kami juga pernah menerima ancaman bunuh semasa insiden sebelum ini dan kami tetap teruskan tugas. Di manakah Ali Tinju ketika itu?" soalnya.

Selain itu Abu Bakar berkata, serbuan di kedai tersebut dijalankan berikutan maklumat awam bahawa terdapat beberapa pelayan pelanggan warga asing tanpa dokumen yang sah.

"Kami tidak mempunyai motif tersembunyi dalam menjalankan serbuan kerana operasi seperti itu adalah sebahagian daripada pemeriksaan yang kerap dilakukan di kedai-kedai hiburan di Taman Melaka Raya.

"Saya tidak faham mengapa isu ini telah diperbesar-besarkan dengan tiba-tiba. Kami tidak pernah mendapatkan sebarang bantuan daripada Ali Tinju untuk mempertahankan kami," katanya.

Sementara itu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron turut membidas hasrat Ali.

"Jangan sebut nama dia (Ali). Dia bukan orang yang baik.

"Kita tidak perlukan dia di sini. Kami mahu sebuah negeri yang harmoni dan menghormati semua kaum. Saya tidak perlukan dia untuk mengajar saya bagaimana untuk mentadbir negeri saya."

Mohd Ali ketika dihubungi lewat malam tadi enggan mengulas.

Artikel Sebelum

Artikel Lain