suria

Rasuah & Pengubahan Wang Haram: Empat Pegawai Kanan TLDM Mengaku Tidak Bersalah

IPOH: Tiga pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) termasuk pasangan suami isteri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima rasuah membabitkan nilai lebih RM500,000 berkaitan dengan urusan pembekalan barangan ke TLDM, antara 2014 dan 2015.

Pasangan suami isteri, Leftenan Komander Rozlin Mustafa, 33, dan suaminya, Leftenan Komander Rizalman Ghazali, 36, menghadapi enam pertuduhan menerima suapan yang membabitkan sejumlah RM420,852.85.

Manakala Leftenan S.Kuvendran, 32, menghadapi empat pertuduhan menerima suapan sebanyak RM104,971.97.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Rozlin dituduh menerima suapan daripada Hussin Roslim@Roslind melalui suaminya, Rizalman, iaitu sejumlah wang bernilai RM30,011.44 dan RM200,000 melalui sekeping kad ATM Affin Bank, sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Rozlin yang memegang jawatan sebagai Pegawai Kawalan Material 3, Depot Bekalan Armada TLDM Lumut, didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Oktober 2014 dan 2 Januari 2015.

Rozlin didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Rizalman pula didakwa menerima wang berjumlah RM175,841.41 dan RM15,000 masing-masing pada 15 Oktober 2014 dan 26 Disember 2014 daripada Hussin, melalui sekeping kad ATM CIMB Preferred bagi pihak isterinya, Rozlin, sebagai upah meluluskan kerja-kerja pembekalan bernilai RM1,363,317.95 kepada syarikat di mana Hussin mempunyai kepentingan.

Bagi pertuduhan ketiga dan empat pula, Rizalman didakwa telah menerima wang suapan sama seperti dua pertuduhan terhadap isterinya.

Rizalman didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Nombor 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Manjung Seri Manjung, Manjung dan boleh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Kuvendran pula menghadapi pertuduhan menerima suapan wang tunai berjumlah RM68,471.97, RM10,000, RM4,500 dan RM22,000 pada Januari hingga Oktober 2014 daripada Mohd Nasir Abdullah, melalui sekeping kad debit CIMB, di mana syarikat Mohd Nasir mempunyai kepentingan dan ada hubungan dengan kerja-kerja rasminya.

Dia yang pada masa itu bertugas di Material 2, Depot Bekalan Armada TLDM, Lumut boleh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Hakim Rihaida Rafie membenarkan Rozlin diikat jamin sebanyak RM20,000 (RM10,000 bagi setiap pertuduhan) dengan seorang penjamin, Rizalman sebanyak RM40,000 (RM10,000 bagi setiap pertuduhan) dengan seorang penjamin manakala Kuvendran sebanyak RM32,000 (RM8,000 bagi setiap pertuduhan), juga dengan seorang penjamin.

Rihaida juga memerintahkan kesemua tertuduh menyerahkan pasport.

Mahkamah menetapkan 11 November depan bagi ketiga-tiga kes disebut semula.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran, manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Norhasham Hasan.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berasingan, seorang pegawai kanan TLDM mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan urusan pembekalan barangan ke TLDM berjumlah RM840,000 sejak tahun lepas.

Kapten Abdul Aziz Gaffor, 54, dituduh melakukan kesemua kesalahan itu pada Jun 2014 hingga Mac 2015, semasa menjadi Pegawai Pemerintah Depot Bekalan Armada TLDM Lumut.

Bagi dua pertuduhan pertama, tertuduh menerima sekeping cek Maybank bernilai RM300,000 dan sekeping cek CIMB berjumlah RM60,000 pada 26 Okt 2014 dan 10 Disember 2014 daripada Hussin Roslim@Roslind melalui akaun Maybank pihak ketiga milik AD Julian Lawrence. 

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu masing-masing di Maybank Cawangan Lumut dan CIMB Bank, Cawangan Sri Manjung, Manjung.

Dia juga didakwa menerima Sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (rentas) sebanyak RM300,000, melalui cek CIMB Islamic milik Fiqnis Tech Engineering pada 29 Dis 2014, yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank pihak ketiga milik AD Julian Lawrence di CIMB Bank Cawangan Seri Manjung, Manjung.

Bagi pertuduhan keempat, Abdul Aziz didakwa menerima pindahan rentas berjumlah RM30,000 daripada Hussin melalui akaun CIMB, milik akaun pihak ketiga iaitu Zuraifah Syahirah Khalid di Lembaga Tabung Haji Cawangan Sitiawan, Manjung.

Tertuduh juga didakwa menggunakan wang Tabung Haji milik Hussin melalui  sekeping kad Debit Bank Islam bernilai RM150,000 di nombor 16, Persiaran Venice Intan 5/1, Desa Manjung Seri Manjung, Manjung.

Dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Hakim Ikmal Hishan Mohd Tajuddin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 (RM10,000 bagi setiap pertuduhan) dengan seorang penjamin serta memerintahkan tertuduh untuk menyerahkan passport.

Mahkamah menetapkan 11 November depan sebagai sebutan semula kes.

Abdul Aziz diwakili peguam Mohd Fadly Hashim dan Collin Arvind Andrew manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azah Kasran.-- Bernama



TLDM, rasuah

Artikel Lain