suria

SPRM Terima Dua Anugerah ICT Agensi

Jamidan (tiga dari kanan) bersama penerima anugerah lain bergambar bersama Ketua Setiausaha Negara,Tan Sri Ali Hamsa pada majlis penganugerahan sempena Forum dan Wadah Perkhidmatan Digital Kerajaan di Menara Seri Wilayah, Putrajaya, Khamis.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencatat sejarah tersendiri apabila memenangi dua daripada 13 anugerah Sijil Pengiktirafan Pelaksanaan Cemerlang ICT Agensi.

Dua anugerah itu ialah Anugerah Kecemerlangan Analitis Operasi Bisnes dan Anugerah Kecemerlangan Analitis Inovasi Pekerja.

Ia pertama kali diperkenalkan dan melibatkan lebih 100 agensi dalam negara yang dinilai.

SPRM dipilih menerusi penyertaan dalam Kaji Selidik Pelaksanaan ICT Sektor Awam, yang memfokus bidang analisis, data, strategi analisis, data dan taktik analisis, penerimaan mobiliti, penggunaan media sosial dan infrastruktur bestari, anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM, Datuk Mohamad Jamidan Abdullah berkata, kejayaan itu adalah hasil gandingan setiap warga kerja SPRM khususnya Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat (BPRTM).

Katanya, penerimaan anugerah ini menunjukkan bahawa siri inisiatif yang diambil sejak pelaksanaan Program Transformasi secara holistik mula membawa hasil dan diiktiraf.

"Sistem ICT sentiasa dibangunkan secara dalaman berdasarkan sumber yang ada serta mempraktikkan pendekatan baharu dalam usaha melancarkan kerja khususnya bidang operasi di SPRM.

"Diharapkan pencapaian hari ini memberi motivasi kepada pegawai SPRM supaya lebih berinovatif dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat sejajar dengan Program Transformasi SPRM 2009," katanya.

Bagi SPRM yang menyambut Ulang Tahun Ke-48 BPR/SPRM pada 1 Oktober 2015, penganugerahan ini dilihat sebagai  perkembangan positif yang menyuntik semangat kakitangan SPRM.

Sementara itu, Pengarah BPRTM, Nor Azmi Karim berkata, selari dengan program transformasi, pelbagai inisiatif telah dan sedang diambil bagi memastikan pembangunan sistem di SPRM terus menjadi komponen penting, di samping mewujudkan aplikasi mesra pengguna, persekitaran mesra alam serta jaminan keselamatan ke atas data SPRM.

"ICT adalah antara bidang utama yang dipandang serius oleh Pengurusan Tertinggi SPRM dan khususnya melibatkan pembangunan aplikasi teras SPRM bagi memastikan fungsi SPRM dapat dilaksanakan dengan sistematik, efektif dan efisien serta telus agar perkhidmatan yang cemerlang dapat diberikan bagi memenuhi keperluan 'stakeholder' dan rakyat.

"Antara inisiatif terbaru yang sedang dilaksanakan ialah pembangunan Sistem Risikan Rasuah (CIS), Sistem Pengurusan Ekshibit dan Sistem Pengurusan Saksi yang mampu meningkatkan pengurusan operasi SPRM serta keyakinan masyarakat terhadap SPRM," katanya.

Jelasnya, konsep 'big data' yang diguna pakai dalam pembangunan CIS turut memberi ruang kepada SPRM untuk memanfaatkan sepenuhnya teknologi sedia ada, di samping menguji tahap kemampuan aplikasi teras yang digunakan SPRM.

Katanya, SPRM juga berjaya menaik taraf dan mengekalkan Pensijilan Standard ISO/IEC27001:2013 Information Security Management System (ISMS) tiga tahun berturut-turut.

Katanya lagi, skop pensijilan bertaraf antarabangsa tersebut telah diperluaskan daripada Pusat Data sehingga kepada Portal SPRM termasuk Laman Pencegahan SPRM. 

Jelasnya, pencapaian ICT SPRM juga tidak terhad kepada pembangunan sistem, malah portal SPRM telah dianugerahkan penarafan lima bintang pada 2015 oleh MDeC dan Mampu.

"Sebelum ini, SPRM turut mendapat penarafan lima bintang ke atas portal/laman web agensi kerajaan yang mana penarafan tersebut diberi oleh Mampu dan NDEC," katanya.

Tambah beliau, "baru-baru ini juga, Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) SPRM yang diwakili oleh BPRTM telah mendapat tempat kedua bagi Kategori Teknikal pada Konvesnyen KIK JPM 2015 melalui penggunaan sistem e-Diary."






SPRM, Mampu, MDeC, ICT

Artikel Lain