SEKURANG-kurangnya 27 orang dilaporkan maut selepas sebuah bar di Bangkok, Thailand musnah dalam kebakaran yang tercetus awal pagi Isnin.Pasukan bomba dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan. Ketika tiba di lokasi, anggota penyelamat mendapati pelanggan bertempiaran melarikan diri melalui pintu hadapan premis yang ketika itu sedang dijilat api.Rakaman yang tular di platform X memaparkan suasana cemas apabila api marak dengan cepat, manakala orang ramai dilihat berlari menyelamatkan diri sambil menjerit.Malah, beberapa mangsa dipercayai mengalami kecederaan akibat terbakar.Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, yang hadir ke lokasi kejadian memaklumkan bahawa sebanyak 27 mayat telah ditemui, manakala mangsa lain dikejarkan ke hospital untuk menerima rawatan.Beliau berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.Menurut laporan, anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dalam tempoh kira-kira 30 minit, namun kemusnahan dan jumlah korban yang tinggi menjadikan insiden itu antara tragedi kebakaran paling buruk di negara berkenaan.Media tempatan melaporkan, mangsa yang maut terdiri daripada sembilan lelaki dan 18 wanita.Selain itu, lebih 60 mangsa kini sedang menerima rawatan di hospital akibat kecederaan yang dialami.Dalam perkembangan sama, saluran berita Thailand, Thairath, melaporkan beberapa individu masih belum ditemui dan usaha mencari mangsa sedang giat dijalankan. -Agensi