suria

Digigit Monyet Liar, Budak Lelaki Disuntik Vaksin Rabies

- Gambar hiasan
KANGAR: Seorang murid sekolah rendah telah diberi vaksin rabies dan perlu sentiasa diawasi selepas diserang seekor monyet liar di Arau.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin berkata kanak-kanak itu diberikan vaksin sebagai langkah keselamatan walaupun dia tidak berada dalam keadaan serius.

"Ini adalah kes terpencil. Kebarangkalian untuk dia mendapat penyakit anjing gila sangat sedikit. Kemungkinannya hanya lima peratus.

"Bagaimanapun, memandangkan rabies sedang merebak di kalangan anjing, jabatan ini mengambil langkah yang sama dalam menangani semua gigitan haiwan," katanya kepada The Star, Isnin.

Beliau berkata kanak-kanak itu telah dihantar pulang selepas menerima 11 jahitan di tangannya.

Kanak-kanak itu dipercayai berbasikal ke pusat tuisyen ketika serangan itu berlaku Khamis lalu.

Rantai basikal kemudian mengalami masalah dan dia cuba memperbaikinya apabila monyet itu melompat ke atasnya dan menggigit tangannya.

Mengenai wabak penyakit anjing gila di Perlis, Dr Zaini berkata bekalan vaksin untuk mereka yang digigit anjing adalah memadai.

"Malah, kami mempunyai stok 10 kali lebih daripada biasa. Kebimbangan utama kami sekarang ialah penyebaran rabies melalui anjing. Nasib baik tiada seorang pun daripada mereka yang digigit anjing didapati positif penyakit anjing gila," katanya.

Dr Zaini menggesa orang ramai segera mencuci luka dan mendapatkan rawatan perubatan dengan segera jika diserang mana-mana haiwan.
rabies, vaksin, monyet liar

Artikel Sebelum

Artikel Lain