suria

Jerebu Jejaskan Sektor Pelancongan Negara

Mas Ermieyati Samsudin.

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan mengakui pencemaran udara akibat jerebu di beberapa kawasan baru-baru ini sedikit sebanyak menjejaskan kedatangan pelancong ke negara ini.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata sambutan Hari Pelancongan Sedunia 2015 dengan tema 1 Bilion Pelancong, 1 Bilion Peluang merupakan kesempatan terbaik bagi Malaysia merancakkan kembali industri pelancongan negara.

"Kementerian telah dan sedang menyusun pelbagai inisiatif serta strategi baharu bagi menarik semula kedatangan pelancong luar negara selain menggalakkan pelancong domestik menerusi Kempen Cuti-Cuti 1Malaysia 'Dekat Je'.

"Kempen itu bertujuan meningkatkan lagi pelancongan domestik di kalangan rakyat negara ini pada hujung minggu," katanya pada sidang media selepas merasmikan pameran Fotografi #Kolektif1 dan bas Hop On Hop Off (HOHO) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC) di sini, Isnin.

Sehingga 3 petang ini, destinasi pelancongan Langkawi dan Port Dickson menjadi antara 17 kawasan yang mencatat bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pelancong agar mengambil langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng muka ketika berada di luar. - BERNAMA

sektor pelancongan, jerebu

Artikel Lain