suria

Kes Morais: Siasatan Selesai, Tiada Lagi Suspek Diburu

Anthony Kevin Morais.

KUALA LUMPUR: Tiada lagi suspek diburu berhubung kes pembunuhan Timbalan Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara Anthony Kevin Morais, selepas lapan individu didakwa sebelum ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajuddin Md Isa berkata siasatan polis terhadap kes berkenaan sudah dianggap selesai.

"Tidak perlu lagi buka kertas siasatan, semua telah selesai," katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada siasatan polis terhadap kes berkenaan masih berjalan, atau kertas siasatan baharu akan dibuka.

Isnin lepas, enam lelaki didakwa di mahkamah atas pertuduhan membunuh Morais manakala dua lagi, termasuk doktor tentera, dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu.

Mayat Morais, 55, ditemui di dalam tong dram berisi konkrit di Persiaran Subang Mewah, Subang Jaya, dekat sini pada 16 September lepas.

Morais dilaporkan hilang pada 4 Sept, dan kali terakhir dilihat meninggalkan pangsapurinya di Menara Duta di sini, untuk ke tempat kerjanya di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. - BERNAMA


Anthony Kevin Morais, kes bunuh

Artikel Sebelum

Artikel Lain