suria

USM Buka Bilik Gerakan Pantau Keadaan Jerebu

GEORGE TOWN: Universiti Sains Malaysia (USM) menggerakkan Bilik Gerakan Jerebu sejak beberapa minggu lepas untuk memantau perkembangan jerebu di negeri ini, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Omar Osman.

Beliau berkata arahan dan nasihat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti di luar kampus hanya dikeluarkan bilik gerakan berkenaan dan para pelajar dinasihatkan menyemak keadaan semasa jerebu serta garis panduan yang tertera dalam laman web Pusat Sejahtera USM.

USM telah pun menggerakkan Bilik Gerakan Jerebu di Pusat Sejahtera USM Pulau Pinang dan meminta agar usaha yang sama digerakkan segera di Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal dan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT)di Bertam serta Kampus Kesihatan di Kubang Kerian, Kelantan apabila keadaan memerlukan, katanya.

"Memandangkan keadaan jerebu semakin buruk, saya menasihatkan para pelajar dan warga USM untuk tidak mengadakan aktiviti luar di semua kampus di Pulau Pinang, Bertam, Nibong Tebal dan Kubang Kerian, Kelantan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut laman web Jabatan Alam Sekitar hari ini, bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di USM meningkat daripada 159 pada 8 pagi, kepada 162 pada 9 pagi, manakala bacaan bagi Seberang Jaya meningkat kepada 166 pada 9 pagi daripada 162 pada 8 pagi.

Bacaan di Perai pula turut mencatat IPU pada tahap kualiti udara tidak sihat iaitu daripada 137 pada 8 pagi kepada 140 pada 9 pagi.

IPU antara 0 dan 50 adalah baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (berbahaya).

Omar berkata pihaknya turut mengeluarkan panduan pentadbiran pengurusan jerebu yang boleh dilayari di laman sesawang www.pusatsejahtera.usm.my.

Semua aktiviti luar bangunan melibatkan pelajar dan kakitangan perlu dihentikan apabila IPU mencecah 130 manakala semua aktiviti termasuk kuliah akan ditangguhkan jika bacaan IPU 200, katanya.

"Semua kemudahan Pusat Sukan dan Rekreasi yang digunakan oleh warga kampus dan orang awam akan ditutup sekiranya berada di paras IPU 200," tambah Omar.

Sementara itu, Pengarah Pusat Sejahtera Dr Normala Abdul Wahid berkata Pusat Sejahtera USM di Kampus Induk dan Kampus Kejuruteraan beroperasi seperti biasa untuk memberi rawatan kepada pelajar manakala di Kampus Bertam sedia beroperasi 24 jam.

"Ini adalah ekoran daripada keadaan jerebu yang semakin meningkat bacaan indeks pencemarannya dan kami ingin menasihatkan agar pelajar dan warga kampus tidak melakukan aktiviti luar," katanya.





USM, jerebu

Artikel Lain