suria

Dua Tentera Antara Sembilan Lelaki Ditahan Ketika Berjudi

KLUANG: Sembilan lelaki termasuk dua anggota tentera ditahan ketika sedang berjudi secara dalam talian menggunakan telefon bimbit di dalam sebuah khemah di Taman Kluang Barat, di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, kesemua mereka yang asyik berjudi itu ditahan pada kira-kira 1.30 pagi menerusi Ops Dadu/Mesin Perjudian selepas polis bertindak atas maklumat berkaitan kegiatan terbabit, empat hari lepas.

"Khemah bertutup terbabit didirikan di belakang deretan premis perniagaan dan polis kini sedang mengenal pasti dalang yang terlibat dengan kegiatan itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di sini, Ahad.

Mohamad berkata seorang daripada lelaki yang berumur antara 27 dan 35 tahun itu mempunyai rekod jenayah lampau dan pemeriksaan terhadap telefon bimbitnya mendapati ia mengandungi pelbagai video lucah.

Beliau berkata kesemua sembilan telefon bimbit milik lelaki berkenaan dirampas selain dua komputer riba dan sebuah modem komputer yang digunakan untuk tujuan berjudi.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kesemua yang ditahan kini disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Sementra itu, dalam kes berasingan, Mohamad berkata pihaknya turut menahan seorang wanita Thailand dan seorang wanita termpatan dalam serbuan Ops Noda di sebuah premis pusat kecantikan wanita di Taman Intan, di sini, pada 10 malam tadi.

Beliau berkata serbuan hasil maklumat awam berkaitan kegiatan premis itu yang menjalankan aktiviti rumah urut dengan berselindung di sebalik perniagaan pusat kecantikan.

"Wanita rakyat Thailand berumur 30-an itu merupakan tukang urut manakala wanita tempatan berumur 40-an itu pula dipercayai majikan.

Pemeriksaan turut mendapati, premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan refleksologi atau spa yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen 1959/63.-- Bernama

Taman Kluang Barat, tentera

Artikel Lain