suria

Mayat Wanita Tanpa Kepala Dijumpai Dalam Semak Di Kluang

KLUANG: Satu mayat wanita tanpa kepala dipercayai dibunuh dijumpai dalam kawasan semak, di Kampung Parit Haji Hashim, Simpang Renggam, dekat sini, Ahad.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohamad Laham berkata, mayat yang sebahagianya sudah reput itu, ditemui orang awam sebelum memaklumkan kepada polis pada 10.25 pagi.

"Pemeriksaan lanjut di tempat kejadian, menemui mayat tanpa kepala tersebut dalam keadaan terlentang, tidak berpakaian kecuali bercoli.

"Sehelai kain hijau turut ditemui berhampiran mayat itu manakala pewarna kuku merah masih kelihatan pada kuku kaki," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, Ahad.

Mohamad berkata, hanya tangan kanan mayat itu yang sudah reput, namun tangan kirinya masih elok kerana terlipat di belakang badan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan awal dan berdasarkan keadaan mayat, polis mempercayai mangsa dibunuh di tempat lain sejak dua mingu lepas sebelum mayatnya dicampak ke dalam semak.

Menurutnya, Unit Anjing Pengesan (K9) melakukan pencarian kepala mangsa di kawasan sekitar, namun masih gagal dijumpai.

Menurut Mohamad, motif kejadian masih disiasat dan mayat dihantar ke Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, di sini, untuk bedah siasat.

"Polis sedang berusaha mengesan identiti mangsa berdasarkan cap jari tangan kirinya dan menunggu laporan bedah siasat untuk memastikan sama ada mangsa dirogol atau tidak," katanya menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.-- Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain