suria

Jerebu: Indonesia Perlu Ambil Tindakan - Najib

Najib Tun Razak.

MILAN (Itali): Datuk Seri Najib Razak pada Ahad berkata, kerajaan Indonesia perlu mengambil tindakan terhadap pihak yang menjadi dalang penyebab jerebu yang bukan sahaja menjejaskan kualiti udara di Malaysia tetapi juga ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, hanya Indonesia sahaja dapat memastikan dan membuktikan sama ada keadaan jerebu disebabkan aktiviti pembakaran terbuka oleh syarikat perladangan di negara itu atau kesan daripada perubahan cuaca.

Menurutnya, pihak Indonesia sahaja boleh memperoleh bukti daripada syarikat perladangan yang beroperasi di negara itu yang melakukan aktiviti pembakaran terbuka.

"Perlu pastikan sama ada jerebu disebabkan perbuatan manusia atau kebakaran berlaku disebabkan cuaca kering," katanya ketika mengulas keadaan jerebu di negara kepada wartawan Malaysia sebelum berlepas pulang selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Milan.

Beliau berkata, penyelesaian kepada masalah jerebu memerlukan kerjasama erat antara Malaysia, Indonesia dan Singapura dalam mewujudkan pelan tindakan yang lebih berkesan.

"Ia mengambil kira perjanjian yang dibuat antara ketiga-tiga negara dalam menangani isu jerebu.

"Malaysia bersama-sama Singapura dan Indonesia masih berusaha untuk menterjemahkan perjanjian tersebut dalam bentuk tindakan yang sesuai supaya perkara tersebut tidak berulang," katanya. - Bernama

Najib Tun Razak, jerebu

Artikel Lain