suria

Lempang, Tampar Tidak Sesuai Dengan Kedudukan Saya Sebagai Ahli Politik - Tajuddin

Tajuddin Abdul Rahman.

PETALING JAYA: Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang terkenal dengan membuat kenyataan kontroversi menafikan beliau menggunakan perkataan seperti 'lempang' dan 'tampar' terhadap orang Cina yang mengadu masalah di luar negara.

Tajuddin yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan Ahli Parlimen Pasir Salak berkata, penggunaan perkataan seumpama itu tidak sesuai dengan kedudukannya yang telah lama menjadi ahli politik.

"Macam mana saya boleh guna perkataan 'lempang' dan lain-lain? Ini bahasa budak-budak sekolah. Wartawan ini, saya tidak faham dengan dia. Itu tafsiran dia.

"Saya bukannya budak-budak lagi. Macam mana saya boleh guna perkataan seperti itu! Jika saya mahu berkata sesuatu, ia seharusnya bersesuaian dengan kedudukan saya sebagai ahli politik veteran," katanya kepada The Star Online.

"Cina Malaysia adalah warga Malaysia. Jika ada sebarang masalah di negara ini, selesaikannya secara dalaman," tambahnya.

Tajuddin pada sidang media sempena pelancaran Pameran Perdagangan dan Persidangan Herbal Asia 2015 dilaporkan memberi amaran kepada orang Cina Malaysia supaya tidak mengadu mengenai kerajaan negara ini kepada pihak luar dengan harapan akan mendapat pembelaan daripada kerajaan asing.

Beliau berkata, golongan seperti itu sepatutnya dikenakan 'lempang'. 

Tajuddin memberitahu The Star Online bahawa beliau "hanya mengingatkan" kaum Cina yang berharap untuk meraih perhatian dengan mengadu masalah di luar negara.

"Masih terdapat segelintir orang Cina yang fikir mereka ada 'godfather' untuk bela dan bantu mereka. Saya ulang, hanya segelintir.

"Ia hanya sebagai peringatan. Dia (wartawan) menggunakan perkataan 'amaran' dalam laporan dia," katanya.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Koh Chin Han menyelar kenyataan Tajuddin dan menuntut supaya membuat permohonan maaf.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan di laman web parti itu pada Khamis, Kohd berkata, perkataan tersebut jelas bertentangan dengan semangat 1Malaysia dan hanya mengundang ketegangan yang berlaku dalam kontroversi berkaitan dengan Duta China ke Malaysia.

"Kami terkejut dengan kenyataan yang tidak logik dan bersifat rasis itu datang dari seorang timbalan menteri dan pemimpin Barisan Nasional.

"Kami menggesa Tajuddin untuk menyatakan dengan jelas bilakah orang Cina Malaysia mengadu kepada kerajaan asing mengenai kerajaan Malaysia, dan bila orang Cina Malaysia berkata bahawa mereka berhasrat untuk 'kembali' ke China?" kata Koh.

Beliau berkata, tanpa sebarang bukti mengenai rakyat Malaysia membuat aduan kepada pihak luar, Tajuddin dilihat menyalahgunakan peluang untuk memulakan sentimen perkauman dengan memfitnah orang Cina Malaysia.

"Kenyataan keterlaluan seumpama itu hanya dikeluarkan daripada pihak esktremis. Semua orang Cina Malaysia dilahirkan dan dibesarkan di sini.

"Tiada sesiapa berhak untuk memfitnah mana-mana kaum, sama ada Melayu, Cina, India atau kaum lain kerana tindakan seperti itu boleh ditafsirkan sebagai menghina Perlembagaan Persekutuan yang melindungi hak semua kaum, dan tindakan itu boleh dikenakan hukuman."

Koh menggesa Tajuddin supaya segera menarik balik kenyataannya.

"Jika beliau berani untuk menampar mana-mana orang Cina, MCA tidak akan duduk diam. Orang Cina Malaysia bangga dengan Malaysia.

"Kenyataan Tajuddin boleh dijadikan sebagai lawak antarabangsa dan hanya merosakan imej Malaysia yang telah lama dipelihara dengan baik sejak dulu," katanya.

Dalam satu taklimat khas pada 29 September lalu, Duta Besar China ke Malaysia, Dr Huang Huikang telah mengulangi bahawa beliau tidak pernah berniat untuk mengganggu hal ehwal domestik Malaysia menerusi kenyataan yang dibuatnya di Petaling Street pada 25 September lalu apabila beliau mengatakan China mengecam terhadap mereka yang melakukan keganasan untuk mengganggu ketenteraman awam.

Dr Huang memberi amaran bahawa negaranya tidak takut menyuarakan terhadap insiden yang mengancam kepentingan negara, melanggar hak-hak rakyat dalam menjalankan perniagaan, atau mengganggu hubungan antara Malaysia dan China.

Tajuddin Abdul Rahman

Artikel Lain