suria

"Straw Filter" Juarai Pertandingan Inovasi Banjir

Pelajar dari Jabatan Kejuruteraan Awam Mohamad Redzuan Ariffin,20, (tengah) bersama ahli kumpulan menunjukkan rekaaan Straw Filter yang telah dinobatkan sebagai juara pertandingan pada Majlis Penutup Pertandingan Rekacipta dan Inovasi Bencana Banjir 2015 di Politeknik Kota Bharu, Khamis.

KOTA BARU: Rekaan "Straw Filter" dinobat sebagai juara pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Bencana Banjir 2015 Politeknik Kota Baharu selepas menepati konsep KISS (Keep It Simple Stupid) dan mesra pengguna.

Pencipta inovasi berkenaan yang juga pelajar jurusan Kejuruteraan Awam, Mohd Redzuan Ariffin, 20, berkata idea untuk menghasilkan rekaan itu muncul selepas mendapati kesusahan mangsa banjir mendapatkan bekalan air bersih ketika banjir tahun lepas.

"Straw Filter ini dihasilkan melalui lima tapisan bagi memastikan air yang disedut bersih dan boleh terus diminum walaupun daripada sumber air banjir," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Reka Cipta dan Inovasi Bencana Banjir 2015 di Politeknik Kota Baharu di sini, Khamis.

Program berkenaan dirasmikan Yang Dipertua Majlis Belia Kelantan Mohd Syahbudin Hashim.

Mohd Redzuan berkata bahan penapis yang digunakan adalah daripada sumber semulajadi iaitu batu baur kasar, batu baur halus, pasir sungai, pasir hijau dan lapisan terakhir daripada tempurung kelapa yang mengandungi 'activate carbon'.

"Kesemua bahan tapisan ini berfungsi menghilangkan bau, warna dan rasa air yang disedut selain bersifat antikarat serta mampu meneutralkan ion dalam air yang mungkin berasid," katanya.

Rekaan berkenaan dihasilkan bersama empat rakannya iaitu Mohd Shahrizan Ghazali, 20, Kuruparan a/l Raja, 20, Nurul Izzati Ibrahim, 20, dan Nor Aisyah Mohd Rashid,20, juga dari jurusan Kejuruteraan Awam.

"Kami tidak menyangka akan memenangi pertandingan ini kerana banyak rekaan lain yang kami rasa lebih hebat. Kami harap ada pihak yang akan tampil mempermudahkan rekaan ini dengan kos yang munasabah untuk digunakan mangsa banjir pada masa akan datang," katanya.

Pada pertandingan itu, empat rekaan mendapat anugerah emas termasuk 'Straw Filter', khemah kecemasan bencana banjir, prototaip penggera amaran banjir dan meja terapung.

Sebanyak 30 rekaan inovasi banjir dipertandingkan dengan juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000; naib johan RM800 dan tempat ketiga, RM600.

Pertandingan berkenaan diadakan selama tiga hari bermula 29 Sept dengan kerjasama The Institution of Engineers Malaysia (IEM) cawangan Kelantan bagi mengetengahkan rekaan dan inovasi mudah yang boleh digunakan sewaktu berlaku bencana banjir.-- Bernama

Artikel Lain