suria

Jerebu: Operasi Lapangan Terbang Kerteh Kembali Terjejas

Pekerja-pekerja yang terkandas meninggalkan lapangan terbang Kerteh selepas penerbangan dan perkhidmatan helikopter yang membawa mereka ke platform luar pesisir terjejas.
KEMAMAN: Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Kerteh, Kemaman kembali terjejas akibat jerebu sejak Isnin lalu berikutan jarak ketampakan yang semakin merosot.

Pengurus Komunikasi dan Pehubungan Media Petronas Wilayah Pantai Timur Zamri Mohamad berkata keadaan itu menyebabkan penerbangan dua syarikat komersial yang beroperasi di lapangan terbang tersebut iaitu Malindo Air dan FireFly serta operasi helikopter yang membawa kru luar pantai syarikat minyak dan gas di daerah tersebut turut terjejas dan terpaksa ditangguh.

"Sejak Isnin lalu, sebanyak 11 penerbangan helikopter terjejas setiap hari membabitkan pertukaran kru lebih 300 orang, menyebabkan operasi penerbangan Malindo Air dan Firefly terpaksa dilencongkan ke lapangan terbang di Kuantan dan Kuala Terengganu.

"Lapangan terbang ini ditutup pada pukul 2 petang hari Isnin apabila jarak ketampakan merosot di bawah 1,000 meter dan kembali dibuka hanya untuk penerbangan bersyarat pada pagi Selasa apabila jarak ketampakan pulih kepada 1,000 meter," katanya kepada Bernama di sini Rabu.

Zamri berkata bagaimanapun lapangan terbang tersebut kembali ditutup pada pukul 11 pagi apabila jarak ketampakan bertambah teruk dan hanya mencecah 200 meter pada pukul 4 petang pada Selasa.

"Kini hanya penerbangan bersyarat dibenarkan apabila jarak ketampakan mencecah 1,000 meter seperti yang dibenarkan Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan atas nasihat Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Kalau jarak ketampakan di pelantar membenarkan helikopter mendarat, barulah kita di Lapangan Terbang Kerteh membenarkan helikopter melakukan penerbangan dan kalau tidak selamat untuk mendarat, kita tak akan benarkan helikopter untuk membuat penerbangan," katanya.

Zamri berkata sehingga pukul 4 petang hari ini, jarak ketampakan ialah 400 meter dan atas nasihat DCA, pihaknya tidak membenarkan penerbangan dan pendaratan dilakukan sebab ia tidak selamat dan pihaknya sentiasa memantau keadaan ini dari semasa ke semasa.

"Bagi penumpang penerbangan komersial, mereka boleh menghubungi syarikat penerbangan masing-masing untuk mengetahui status penerbangan mereka," katanya.

Lapangan Terbang Kerteh telah ditutup pada 15 dan 16 September lalu apabila jarak ketampakan merosot di bawah 1,000 meter.

Artikel Lain