suria

Polis Terengganu Siap Sedia Hadapi Musim Tengkujuh, Banjir

HULU TERENGGANU: Polis Terengganu kini giat melakukan persiapan lebih rapi bagi menghadapi musim tengkujuh dan bencana banjir yang boleh melanda pada bila-bila masa sahaja bermula sekarang.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rosli Ab Rahman berkata, bagi tujuan itu sebanyak 33 buah bot, 10 buah kenderaan pacuan empat roda dan lapan buah lori tiga tan diletakkan dalam keadaan yang boleh guna dan sedia digerakkan pada bila-bila masa.

Katanya, selain itu seramai 500 pegawai dan anggota digerakkan bagi membantu dan mengawal keadaan sepanjang bencana banjir melanda negeri ini.

"Kita juga telah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah mengenalpasti anggota yang akan menyelenggara dan mengendali bot penyelamat.

"Sebagai persediaan awal kita akan menghantar anggota dan pegawai terlibat bagi menjalani latihan termasuk latihan menyelamat serta pengendalian bot," katanya kepada pemberita selepas program polis bersama masyarakat di sini, Rabu.

Menurutnya kesemua aset berkenaan telah disiapkan di setiap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) sebagai langkah awal jika berlaku bencana alam tersebut, dan jika kekuatan serta aset itu tidak mencukupi pihaknya akan meminta bantuan dari Bukit Aman.

Jelasnya pihak polis juga akan bekerjasama dengan agensi lain agar semua operasi menyelamat dan pemindahan mangsa banjir berjalan lancar.

Beliau turut mengarahkan semua Ketua Polis Daerah melakukan rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko banjir di daerah masing-masing.

"Bagi menghadapi bencana kali ini, kita telah memperkemaskan segala peralatan termasuk logistik bagi memastikan kerja pemindahan mangsa banjir dapat dilakukan dengan lebih teratur.

Rosli turut mengingatkan penduduk khususnya mereka yang tinggal di kawasan berisiko banjir agar sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa jika diminta untuk berpindah ke kawasan lebih selamat.-- Bernama


banjir, Terengganu, Rosli Ab Rahman

Artikel Sebelum

Artikel Lain