suria

Tiong Lai Arah DCA, Jabatan Laut Kemuka Laporan Harian Jerebu

Seorang penduduk melihat perairan Kuantan yang mengalami jerebu teruk dengan jarak penglihatan yang amat terbatas di sekitar jeti nelayan Kampung Tanjung Lumpur, Rabu. 
Keadaan itu dikhuatiri membahayakan bot-bot nelayan yang mencari rezeki di situ.
Bacaan Indeks Pencemaran Udara yang direkodkan di Balok Baru setakat pukul 3 petang ialah tidak sihat iaitu 130.

PUTRAJAYA: Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai telah mengarahkan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Jabatan Laut Malaysia supaya mengemukakan laporan harian mengenai jerebu kepada beliau.

Katanya, tempoh seminggu diberikan kepada kedua-dua jabatan itu untuk menyusun laporan berkenaan untuk dibentangkan pada mesyuarat Kabinet akan datang.

Tiong Lai berkata, laporan itu akan menunjukkan bagaimana industri penerbangan dan pelabuhan terjejas serta langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengurangkan gangguan penerbangan.

"Jerebu telah memberi kesan bukan sahaja kepada ekonomi dan kesihatan malah penerbangan industri yang menyaksikan banyak penerbangan ditangguhkan, dibatalkan dan diubah laluan.

"Kami sedang menyusun laporan ini untuk memaklumkan kepada kerajaan Indonesia bahawa jerebu benar-benar memberi kesan kepada kita (Malaysia) dan betapa seriusnya keadaan ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Kabinet, Rabu.

Beliau berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet itu, telah diberi taklimat mengenai keadaan jerebu dan kerajaan akan bekerjasama dengan Indonesia untuk mengatasi isu itu.

Sejak berapa minggu lepas, Tiong Lai berkata, keadaan jerebu semakin teruk hingga menyebabkan banyak pembatalan dan kelewatan penerbangan selain menjejaskan operasi lapangan terbang termasuk di Subang, Sarawak dan Johor.

Selain itu, katanya Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Laut Malaysia untuk mengeluarkan amaran jerebu kepada kapal-kapal yang beroperasi di semua pelabuhan di negara ini.

"Kami telah mengeluarkan pekeliling kepada pelabuhan dan pengendali untuk memastikan keselamatan pelabuhan. Pelabuhan Barat turut mengeluarkan pekeliling kepada semua kapal.

"Sekiranya jarak ketampakan merosot ke bawah satu batu nautika kerana jerebu, bot nelayan dan bot-bot kecil perlu menghentikan operasi untuk keselamatan mereka," katanya. 

Tiong Lai berkata, Kementerian Pengangkutan akan terus memantau keadaan di semua pelabuhan termasuk Selat Melaka.

Mengenai langkah-langkah pencegahan, Liow berkata kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berhubung pembenihan awan di kawasan lapangan terbang yang terjejas seperti Subang, Senai (Johor) dan lapangan terbang kecil di Kuching, Sarawak.-- Bernama

Liow Tiong Lai, jerebu, DCA, Jabatan Laut

Artikel Lain