suria

Saranan Ketua AMK Pulau Pinang Mengelirukan - PAS

Afnan Hamimi Taib Azamudden.

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang mempertikaikan cadangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) negeri itu yang mahu wakil Parti Keadilan Rakyat dilantik bagi menggantikan wakil parti berkenaan sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAINPP) apabila penggalnya tamat akhir tahun ini.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, cadangan tersebut berbeza dengan kenyataan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menegaskan bahawa parti itu masih meneruskan kerjasama dengan PAS.

"Kami menghormati cadangan AMK Pulau Pinang supaya jawatan YDP MAINPP yang ketika ini disandang oleh wakil PAS agar dikosongkan.

"Namun cadangan tersebut agak mengelirukan apabila dilihat berbeza dengan kenyataan Presiden PKR sendiri sebelum ini yang menyatakan bahawa PKR masih meneruskan kerjasama dengan PAS, termasuk di Pulau Pinang," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, perkara berkaitan pemilihan jawatan berkenaan dan juga ahli-ahlinya adalah dibawah perkenan Yang di-Pertuan Agong.

"Oleh itu, kami menasihatkan AMK Pulau Pinang supaya menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong selaku ketua agama Islam bagi negeri itu untuk memilih individu layak bagi mengisi jawatan Yang Dipertua," katanya.

Jelas beliau lagi, walaupun pihak Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pulau Pinang mempunyai kuasa untuk mencadangkan nama individu tertentu, namun ianya tertakluk kepada kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menerima atau menolak cadangan yang dikemukakan.

Katanya, individu yang dilantik memegang jawatan tersebut perlu membangunkan institusi MAINPP dan Islam di negeri Pulau Pinang mengikut acuan pembangunan Allah SWT, bukannya mengikut acuan nafsu manusia.

"Jawatan dalam kerajaan adalah amanah daripada Allah SWT dan rakyat, bukannya tempat untuk melunaskan kehendak politik kepartian semata-mata," katanya.

Justeru, beliau berkata, PAS memberi sepenuh kepercayaan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan memilih individu yang layak bagi mengetuai institusi MAINPP.

Pada Selasa, Ketua AMK Pulau Pinang, Asrol Sani Abdul Razak mencadangkan wakil PKR untuk jawatan YDP MAIPP itu bagi menggantikan wakil PAS apabila penggalnya tamat akhir tahun ini.

Pada masa sama, Ketua Wanita PKR, Nur Zarina Zakaria berkata, jawatan YDP MAIPP wajar diberikan kepada PKR kerana parti itu adalah kedua terbesar di Pulau Pinang dengan 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Namun, pada Rabu, Wan Azizah menegaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Asrol Sani dan Nur Zarina bukan pendirian PKR.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu berkata, kenyataan tersebut hanyalah kenyataan peribadi pimpinan AMK dan Wanita PKR negeri itu.







Artikel Lain