suria

Usul Undi Tidak Percaya Terhadap Najib Boleh Dibentangkan - Azalina

Datuk Seri Azalina Othman
PETALING JAYA: Usul undi tidak percaya  terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh dibentangkan di Dewan Rakyat pada sesi Parlimen akan datang melalui Rang Undang-Undang Persendirian, kata Datuk Seri Azalina Othman.

"Walaupun tidak ada peruntukan khas dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat untuk undi tidak percaya, ini tidak bermakna Parlimen tidak membenarkannya, kerana usul undi tidak percaya boleh dibawa di Dewan sebagai Rang Undang-Undang Persendirian di bawah Peraturan Mesyuarat 27 (3), " kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Azalina, yang menulis di blognya berhubung perkara ini pada Rabu berkata di bawah peraturan, sebarang usul perlu diserahkan kepada Speaker secara bertulis tidak kurang daripada 14 hari sebelum, kecuali dalam hal perkara-perkara khas yang ditakrifkan di bawah Peraturan 43, 86 (5) dan 26 (1).

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Peraturan Mesyuarat 15 (1) dengan jelas menyatakan bahawa perkara-perkara kerajaan perlu dibahaskan sebelum perkara-perkara lain di hadapan Dewan Rakyat.

"Parlimen sentiasa memegang prinsip-prinsip demokrasi, di mana setiap Ahli Parlimen mempunyai hak-hak seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan dan Peraturan Mesyuarat," kata Azalina.

Beliau menegaskan bahawa pada Julai 2008, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail cuba membawa usul tidak percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdullah Ahmad Badawi di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) dan 18 (2) .

"Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul itu bawah peraturan 18(7) kerana ia dikemukakan untuk mengambil ketetapan tidak percaya, sedangkan peraturan yang digunakan Wan Azizah adalah untuk merunding.

"Maka, ini adalah jelas bahawa bukannya usul tidak dibenarkan tetapi ia bercanggah dengan Peraturan Mesyuarat," kata Azalina.

Beliau bagaimanapun berkata, adalah tidak wajar untuk ahli Parlimen melakukan sebarang sabotaj terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi.

"Kita sebagai rakyat Malaysia, tidak kira falsafah dan ideologi politik masing-masing, harus sentiasa mendukung sistem pemerintahan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain