suria

Mayat Lelaki Dalam Bagasi

JOHOR BARU: Mayat seorang lelaki warganegara Vietnam dipercayai dibunuh, dijumpai di dalam sebuah beg bagasi oleh pemilik premis di sebuah bilik sewa di Jalan Teratai 7, Johor Jaya, petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Samad Salleh berkata pihaknya telah menerima laporan daripada pemilik premis pada pukul 2.10 petang yang mengatakan dirinya telah menjumpai mayat selepas menghidu bau busuk di tingkat satu rumah sewanya.

"Pemilik premis curiga dengan bau busuk dan terus mencari punca bau itu, lalu menjumpai satu beg bagasi yang mencurigakan dan mendapati di dalamnya adalah mayat yang telah busuk," kata beliau ketika dihubungi di sini, Ahad.

Samad berkata mangsa yang dipercayai telah mati tiga hingga empat hari lepas, terdapat kesan kelar pada bahagian badannya akibat senjata tajam dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Mayat mangsa itu telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail, Johor Baharu untuk bedah siasat.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (Bunuh).

Beliau turut meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes itu supaya menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana Balai Polis berhampiran atau melalui Hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui Hotline Polis IPD Seri Alam di talian 07-3864222.

Mayat, Bagasi

Artikel Sebelum

Artikel Lain