suria

Tiga Kawasan Catat IPU Sangat Tidak Sihat

KUALA LUMPUR: Kualiti udara di Shah Alam, Pelabuhan Klang dan Batu Muda dikategorikan sebagai sangat tidak sihat setakat 8 pagi Ahad dengan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan masing-masing bacaan melebihi 200.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar (JAS), Shah Alam merekodkan IPU tertinggi pada 243, diikuti Pelabuhan Klang (229) dan Batu Muda di Kuala Lumpur (224).

Asap jerebu menyelubungi ibu negara pagi ini yang menurut ramai warga kota menjejaskan jarak penglihatan selain mengundang masalah pernafasan.

Menurut JAS, Cheras di Kuala Lumpur dengan bacaan IPU 168 merupakan antara 16 kawasan yang mencatat IPU tidak sihat pagi ini, selain Petaling Jaya, Selangor dengan bacaan 199 yang menghampiri tahap IPU sangat tidak sihat serta pusat pentadbiran kerajaan persekutuan Putrajaya (187).

Di Sarawak, tiga kawasan mencatatkan IPU tidak sihat iaitu Sri Aman (182), serta Kuching dan Samarahan masing-masing dengan bacaan 140.

Di Selangor, Banting merekodkan IPU 178, diikuti Kuala Selangor (164).

Di Negeri Sembilan, IPU di Seremban adalah 152, diikuti Nilai (140) dan Port Dickson (133), manakala IPU 110 dan 103 dicerap di dua kawasan di Melaka iaitu  Bukit Rambai dan Bandaraya Melaka.

Kawasan lain yang turut mencatat IPU tidak sihat adalah Tanjung Malim (131) dan Sri Manjung (116) di Perak, serta Jerantut, Pahang (115).

IPU pada tahap antara 0-50 adalah baik, sederhana (51-100), tidak sihat (101-200), sangat tidak sihat (201-300) dan berbahaya (lebih 300).

Orang ramai boleh menyemak status IPU di kawasan masing-masing dengan melayari portal http://apims.doe.gov.my.

Jerebu, IPU Tidak Sihat

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain