suria

Jerebu: Semua Sekolah Di Pahang, Tanjung Malim Tutup Isnin - KPM

Jambatan Tanjung Lumpur kelihatan kabur akibat jerebu meskipun Indeks Pencemaran Udara yang direkodkan di Balok Baru dan Indera Mahkota melalui portal Jabatan Alam Sekitar (JAS) ialah sederhana iaitu 59 dan 58 setakat 5 petang Ahad. Foto Bernama

PETALING JAYA: Semua sekolah di Pahang dan Tanjung Malim, Perak diarah ditutup Isnin berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan pemantauan sehingga pukul 4 petang Ahad mendapati terdapat beberapa kawasan atau daerah lagi yang menunjukkan bacaan IPU tidak sihat.

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, setakat pukul 4 petang, Jerantut, Pahang mencatatkan bacaan IPU tidak sihat 119, manakala Tanjung Malim, Perak pada paras 150.

Terdahulu, pada sebelah pagi KPM mengumumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak diarah ditutup pada Isnin. 

Menurutnya, ia berikutan negeri dan bahagian terbabit mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat (201-300) dan tidak sihat (101-200) pada Ahad.

Sehubungan itu, pihak jabatan pendidikan negeri, pejabat pendidikan daerah bagi negeri dan bahagian terlibat hendaklah memaklumkan kepada sekolah-sekolah dan ibu bapa di kawasan masing-masing mengenai penutupan itu dengan kadar segera.

jerebu

Artikel Lain