suria

Kertas PSRA Isnin Ditangguh, Sekolah Seliaan Jais Ditutup Akibat Jerebu

SHAH ALAM: Kertas peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) yang dijadual Isnin ditangguh ke tarikh lain dan semua sekolah di bawah seliaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ditutup Isnin.

Timbalan Pengarah JAIS, Ahmad Zaki Arsad dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencatatkan bacaan pada paras yang sangat tidak sihat pada Ahad.

Beliau menjelaskan peperiksaan berkenaan hanya akan bermula pada Selasa ini menerusi kertas Bahasa Arab (Kod BA02) pada pukul 2.40 petang dan tarikh baharu bagi kertas pertama peperiksaan itu akan diumumkan semula dalam masa terdekat.

Ahmad Zaki turut meminta semua pentadbir sekolah yang terlibat memaklumkan kepada kepada ibu bapa, calon PSRA dan pihak terlibat berhubung perkara itu secepat mungkin.

Kementerian Pendidikan dalam satu kenyataan tengah hari Ahad memaklumkan semua sekolah di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan serta di Sri Aman, Kuching dan Samarahan di Sarawak diarah tutup esok berikutan bacaan IPU yang semakin buruk. 

Menurut portal Jabatan Alam Sekitar, setakat pukul 2 petang, tiga kawasan merekodkan IPU sangat tidak sihat berbanding lima pada 11 pagi Ahad.

Shah Alam mencatatkan bacaan IPU tertinggi iaitu 239, diikuti Batu Muda, Kuala Lumpur (228), dan Pelabuhan Klang (215). - Bernama

psra, jerebu

Artikel Sebelum

Mayat Wanita Terapung Ditemui

Artikel Lain