suria

Modul Baharu PLKN Lebih Berilmu

PETALING JAYA: Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan berpeluang untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka dan celik komputer apabila program tersebut disambung semula bulan depan.

Modul baharu yang dikenali sebagai "Tech + Talk" diperkenalkan dalam program PLKN dengan 400 pelatih akan menjalani projek perintis di Kem Princess Haliza di Sepang, Selangor bermula 19 Oktober depan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Mohamed Asri Yusof berkata inisiatif tersebut merupakan projek perintis untuk melengkapkan pelatih dengan kemahiran teknologi maklumat dan kaedah berkomunikasi dengan lebih baik.

Ia turut memberi pendedahan kepada pelatih mengenai cara untuk berkongsi idea, menyuarakan pendapat tanpa rasa takut dan menerapkan nilai-nilai teras seperti perpaduan, keberanian, komitmen, daya tahan dan disiplin.

Terdapat beberapa modul ko-kurikulum baharu yang disediakan untuk penambahbaikan PLKN yang ditangguhkan sementara waktu itu.

Ia merangkumi perpaduan, sukarelawan, semangat patriotik, kecergasan, pembangunan diri, perancangan kerjaya, keselamatan dalam talian.

Mohamed Asri berkata pihaknya akan melantik perunding pada minggu ini untuk melatih tenaga pengajar modul "Tech + Talk".

Beliau berkata modul tersebut lebih memberi penekanan kepada pelatih yang tidak berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, adalah lebih baik sekiranya mereka boleh mempertingkatkan penguasaan Bahasa Inggeris dan menguasai kemahiran teknologi maklumat.

"Kementerian Pendidikan Tinggi akan membantu kita mengenal pasti pelatih yang sesuai," katanya.

Beliau berkata perunding akan bekerjasama dengan jurulatih dan pelatih untuk memastikan kesan maksimum menerusi inisiatif tersebut.

Ketika ditanya mengenai kos, Mohamed Asri berkata program selama tiga bulan menelan belanja RM9,000 bagi setiap pelatih.

"Kali ini, kita akan membelanjakan kira-kira RM5,000 hingga RM6,000 setiap pelatih untuk tempoh dua bulan," katanya.

Difahamkan, para pelatih akan dikategorikan mengikut tahap penguasaan mereka untuk modul "Tech + Talk".

Pelatih yang mempunyai tahap kemahiran rendah akan diajar asas Bahasa Inggeris manakala mereka yang mempunyai penguasaan bahasa lebih baik akan didedahkan dengan modul yang lebih mendalam seperti kemahiran perdebatan dan pengucapan awam.

Segmen teknologi turut akan melalui proses yang sama.

Terdahulu, pelatih PLKN perlu menjalani latihan selama tiga bulan.

Di bawah PLKN 2.0, mereka hanya perlu menghadiri program selama dua bulan yang merangkumi pembelajaran bersepadu.

Mereka yang tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi diberi pilihan untuk menghadiri fasa kedua yang menyediakan latihan kemahiran lebih mencabar selama tiga hingga 24 bulan.


PLKN, Tech + Talk

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain