suria

Jangan Pinggirkan PAS - Mahfuz

SUBANG JAYA: Datuk Mahfuz Omar merayu supaya PAS tidak dipinggirkan oleh pakatan pembangkang baharu yang dianggotai DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Menurut wakil rakyat PAS itu, gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Harapan itu perlu terus mendekati parti Islam berkenaan.

"PAS juga harus terbuka untuk menerima realiti politik masa kini. Pembangkang seharusnya mempunyai kesatuan untuk memberi mesej tepat kepada rakyat bahawa tak mungkin berlaku tiga penjuru semasa pilihan raya akan datang.

"Sebab itu saya masih mengharapkan sama ada penyertaan (PAS) dalam Pakatan Harapan atau jalinan hubungan kerjasama (blok politik), yang penting bukan tiga penjuru," katan Ahli Parlimen Pokok Sena itu kepada pemberita di sini, Selasa.

Beliau ditemui selepas menghadiri sidang meja bulat pembentukan Pakatan Harapan yang turut dihadiri pimpinan DAP, PKR dan Amanah.

Menurut Mahfuz, beliau hadir atas kapasiti sebagai wakil rakyat pembangkang walaupun tanpa pengetahuan PAS.

Awal hari ini Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan bahawa parti itu menolak kerjasama dengan DAP dan Amanah.

Sehubungan itu PAS memutuskan untuk tidak menghantar wakil ke sidang meja bulat yang dipengerusikan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mahfuz Omar, PAS, Pakatan Harapan

Artikel Lain