suria

Enam Daripada 22 Anjing Gigit Manusia Di Perlis Bawa Virus Rabies

ARAU: Enam daripada 22 ekor anjing yang menggigit manusia di Perlis sejak 17 Ogos lepas disahkan pembawa virus rabies atau penyakit anjing gila.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Perlis, Dr Shaharul Akmar Talib berkata semua anjing yang membawa rabies itu telah dihapuskan.

Katanya jabatan itu telah mengambil langkah pengawalan antaranya program pemvaksinan anjing-anjing peliharaan bagi mencegah jangkitan penyakit anjing gila.

"Anjing-anjing liar yang tidak bertuan pula dimusnahkan supaya haiwan tersebut tidak membiakkan virus rabies," katanya semasa ditemui di rumah seorang mangsa gigitan anjing gila di sini, Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, negeri Datuk Sabry Ahmad mewakili Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man melawat kanak-kanak itu dan memberi sumbangan.

Perlis diisytiharkan negeri wabak anjing gila pada 21 Ogos lepas berikutan penularan penyakit itu setelah beberapa ekor anjing menggigit mangsa-mangsa mereka di Felcra Lubuk Sireh, Kaki Bukit, Guar Nangka, Pauh, Simpang Empat, Kangar, Kuala Perlis dan Jejawi.

Dr Shaharul berkata Jabatan Kesihatan turut membantu pihaknya memantau pesakit yang digigit anjing manakala mangsa dikehendaki menjalani pemeriksaan susulan setiap tiga bulan selama setahun.

Beliau meminta pemilik anjing membawa haiwan peliharaan mereka mendapatkan suntikan di jabatan itu di Kangar atau Arau supaya ia boleh dilesenkan.

Dalam kes terbaharu seorang kanak-kanak berusia 10 tahun yang sedang mengayuh basikal di kawasan rumahnya di Pauh di sini diserang dan digigit oleh seekor anjing pada Khamis lepas.

Menurut ibu kanak-kanak itu, anaknya telah diberi vaksinasi selepas kejadian dan masih menunggu pengesahan dari Pejabat Perkhidmatan Veterinar sama ada anaknya bebas daripada jangkitan rabies.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain