suria

4 RS Ambil Alih Tugas Cari 7 Murid Orang Asli Hilang

KOTA BARU: Seramai 120 anggota 4 Rejimen Sempadan (RS) berpangkalan di Grik, Perak akan mengambil alih tugas 216 anggota daripada 1 RS, Tanah Merah bermula hari ini dalam usaha mencari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang, yang hilang sejak bulan lepas.

Panglima 8 Briged Infantri Brig Jen Zarondin Md Amin berkata 1 RS dikeluarkan bagi memberi rehat kepada pasukan itu yang telah melaksanakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak 26 hari lepas.

"Kita diberi tanggungjawab untuk melakukan pencarian di kawasan utara SK Tohoi dengan radius pencarian sehingga 80 kilometer.

"Dalam radius itu, kita bahagikan kepada enam sektor pencarian melibatkan tiga sektor di Kampung Gawin dan enam sektor di Kampung Penad," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Beliau berkata pihaknya turut menggunakan khidmat dua helikopter Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dua ekor anjing pengesan untuk mencari kanak-kanak berkenaan.

Antara kekangan yang dihadapi pasukan pencari ketika ini adalah kekurangan sumber maklumat tepat berhubung kehilangan kanak-kanak terbabit yang masuk hari ke 29 hari ini.

"Contohnya, bila kita menemubual guru ataupun rakan-rakan mereka, ada pelbagai cerita yang keluar dan kita kena siasat semua, namun akhirnya hanya menemui jalan buntu.

"Bagaimanapun, kita akan terus melaksanakan operasi berkenaan sehingga kesemua mangsa ditemui dan moral anggota kita masih lagi tinggi," katanya.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengekalkan 38 anggotanya untuk meneruskan operasi mencari tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi yang hilang sejak sebulan lalu.

Di GUA MUSANG, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan Hussin Ab Rahman berkata jabatan itu akan mengekalkan 38 anggotanya untuk meneruskan operasi mencari tujuh murid berkenaan termasuk pada Aidiladha, Khamis ini.

"Kita mahu anggota bomba sentiasa bersama anggota keselamatan lain sepanjang masa sehingga mangsa ditemui, katanya pada sesi taklimat kepada anggota operasi mencari tujuh murid hilang di Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, di sini, hari ini.

Sementara itu Pengerusi Belia Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Dendi Johari ketika ditemui di Pos Tohoi berkata, harapan anggota keluarga untuk menemui semula anak mereka semakin tipis berikutan pelbagai usaha dilakukan, namun mangsa masih gagal ditemui.

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menempatkan 10 pegawai pendidikannya di pusat operasi Pos Tohoi bagi membantu misi mencari dan menyelamat tujuh anak murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Gua Musang yang hilang sejak bulan lepas.

Pengarahnya Ab Aziz Abdullah berkata pegawai daripada Pusat Ko-Kurikulum Tangok, Bachok itu akan ditempatkan secara bergilir-gilir sehingga kesemua mangsa ditemui.

Pada 23 Ogos lepas, tujuh murid terbabit iaitu Juvina David, 7; Linda Rosli, 8; Sasa Sobrie, 8; Ika Ayel, 9; Haikal Yaakob, 8; Norieen Yaakob, 10, dan Miksudiar Aluj, 11, didakwa melarikan diri ke dalam hutan kerana takut dikenakan tindakan selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Artikel Sebelum

Raja Puan Muda Kedah Mangkat

Artikel Berikut

Artikel Lain