suria

Pengawal Keselamatan Maut Terkena Tiga Tembakan

KUANTAN: Seorang pengawal keselamatan sebuah kilang besi di sini maut ditembak lelaki bertopeng ketika mahu memasuki sebuah kereta selepas keluar dari sebuah restoran di Jalan Tun Ismail dekat sini, awal pagi Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, mangsa Arzurizan Abdul Rahman, 39, atau lebih dikenali sebagai 'Zul Badak' dipercayai maut selepas terkena tiga das tembakan.

"Kejadian pukul 2.45 pagi itu dipercayai berlaku semasa mangsa mahu membuka pintu bahagian penumpang hadapan kereta itu sebelum ditembak beberapa das.

"Mangsa yang cedera parah akibat terkena tembakan di leher, perut dan pinggang kiri itu disahkan mati di tempat kejadian oleh pihak Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Raja Shahrom berkata, mangsa sebelum itu telah masuk ke restoran berkenaan pada pukul 11.30 malam bersama empat rakannya termasuk dua wanita berusia lingkungan 26 hingga 30-an untuk minum di situ.

Mereka kemudian beredar menuju ke kereta yang diletakkan berhampiran restoran kira-kira pukul 2.30 pagi sebelum seorang lelaki yang memakai topeng muka keluar dari sebuah kereta Proton Waja lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa dalam jarak 10 meter.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Waja yang dinaiki dua suspek terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu iaitu WSF 3855 berwarna kelabu yang didaftarkan pada motosikal Modenas Kriss.

Katanya, suspek itu juga dipercayai melepaskan empat das tembakan menggunakan senapang berdasarkan penemuan empat kelongsong peluru berukuran 5.56mm di lokasi kejadian.

Raja Shahrom berkata, rakan mangsa sempat membaling batu ke arah cermin hadapan kereta suspek dan polis percaya terdapat kesan retak pada kenderaan berkenaan.

"Kita mohon kerjasama orang awam sekiranya mempunyai maklumat dengan kejadian ini agar segera memaklumkannya kepada pihak polis. Mayat mangsa akan dibedah siasat esok di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA). Usaha mengesan suspek juga giat dijalankan dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu beliau turut menggesa semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes itu setelah ia kini menjadi viral di laman sosial Facebook kerana ia boleh mengganggu siasatan pihak polis.  - BERNAMA

jenayah, tembak

Artikel Berikut

Artikel Lain