suria

Anina Fail Injunksi Beku Aset Perdana Menteri

Anina Saadudin.

PETALING JAYA: Bekas ahli Wanita Umno, Anina Saadudin pada Jumaat memfailkan permohonan kepada mahkamah untuk membekukan aset Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beberapa minggu lalu, Anina turut memfailkan saman terhadap Najib dan Umno berhubung wang derma bernilai AS$700 juta (RM2.6 bilion) dari Timur Tengah yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya.

Tuntutan tersebut menyebabkan Anina dipecat daripada parti.

Peguam Anina, Hanif Khatri Abdullah memberitahu The Star bahawa Anina memfailkan dua injunksi mareva pada Jumaat.

Hanif berkata mereka menggesa mahkamah untuk membekukan aset perdana menteri sehingga siasatan kes itu diselesaikan.

Malah, Najib turut diminta mengisytiharkan kesemua asetnya di Malaysia mahupun di luar negara melalui afidavit bersumpah dalam tempoh 10 hari perintah dikeluarkan mahkamah.

Beliau berkata satu lagi permohonan kepada mahkamah adalah untuk memfailkan penghakiman terhadap Najib tanpa perlu dibicarakan.

"Ini berkaitan dengannya meminta butiran mengenai dana RM2.6 bilion yang disalurkan ke dalam akaun peribadi perdana menteri. Memandangkan beliau mengakui RM2.6 bilion itu adalah wang derma, melalui undang-undang tidak ada keperluan untuk melalui perbicaraan.

"Anina turut membuat beberapa perintah dalam penyataan tuntutannya tetapi ini tidak ada kena mengena dengan pemulangan wang atau apa-apa yang lain," kata Hanif.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain