suria

Skandal 1MDB: Khairuddin Dihalang Ke Luar Negara

Khairuddin bersama peguamnya, Matthias Chang.

PETALING JAYA: Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dilarang meninggalkan negara ini, dipercayai mempunyai kaitan dengan pendedahannya mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut ahli perniagaan itu, beliau hanya mengetahui mengenai tindakan disenarai hitam terhadapnya oleh Jabatan Imigresen pada awal pagi Jumaat.

"Saya sepatutnya berlepas ke New York serta London pada pukul 10.30 pagi hari ini tetapi telah dilarang, disekat dan disenarai hitam oleh Jabatan Imigresen Malaysia atas arahan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Pada pukul 8 pagi, saya pergi ke ibu pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya untuk mendapatkan penjelasan daripada bahagian keselamatan pasport, tetapi malangnya pihak pegawai imigresen hanya memaklumkan bahawa ini adalah atas arahan Ibu Pejabat Polis Bukit Aman," katanya menerusi status di Facebooknya pada Jumaat.

Turut disekat ke luar negara ialah peguamnya, Matthias Chang.

Tambah Khairuddin, hasil pemeriksaannya di Jabatan Imigresen, beliau dimaklumkan larangan ke luar negara terhadapnya dibuat atas alasan 'sebab-sebab khas'.

Susulan itu menurut Khairuddin, beliau diminta hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Isnin depan bagi membantu siasatan berhubung skandal syarikat pelaburan kerajaan berkenaan.

"Saya dipanggil untuk proses siasatan pada pukul 11 pagi, Isnin depan. Melalui perbualan telefon dengan pegawai siasatan, beliau mengesahkan bahawa saya akan disoal-siasat kerana menghantar bahan bukti kes skandal 1MDB kepada pejabat Peguam Negara Switzerland.

"Adakah tindakan saya ini boleh dianggap sebagai jenayah. Saya mempunyai hak untuk membuat laporan di mana-mana negara di serata dunia dengan syarat mengikut lunas undang-undang antarabangsa," katanya.

Sebelum ini Khairuddin bertindak menyerahkan semua bukti yang didakwa mempunyai kaitan dengan skandal 1MDB kepada pejabat Peguam Negara Switzerland di Bern.

Khairuddin sebelum itu pernah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) kerana mendakwa berlaku ketirisan dalam pentadbiran 1MDB.

Khairuddin Abu Hasaan, 1MDB

Artikel Lain