suria

1,000 Doktor Tentera Belum Terima Anugerah PJM

SHAH ALAM: Persatuan Pegawai Veteran Kor Kesihatan Angkatan Tentera mengenal pasti 1,000 doktor tentera yang masih belum dianugerah Pingat Jasa Malaysia (PJM) yang diberi bagi mengiktiraf keperwiraan, keberanian serta khidmat bakti cemerlang anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Presiden persatuan, Lt Kol(B) Dr Jaswant Singh berkata setakat ini hanya 50 doktor menerima anugerah itu dan baki doktor yang berkelayakan perlu menghubungi persatuan berkenaan untuk memastikan langkah-langkah yang perlu diambil, bagi membantu mereka menerima anugerah tersebut.

"Baru-baru ini, 34 doktor perubatan dikurniakan anugerah Pingat Jasa Malaysia di Kuala Lumpur sempena sambutan Hari Malaysia," katanya.

Pingat yang diwujudkan sejak Mac 2004 setelah diperkenankan oleh Yang  di-Pertuan Agong itu adalah bagi mengiktiraf keperwiraan, keberanian serta khidmat bakti cemerlang anggota ATM sepanjang terlibat dalam darurat dan konfrontasi.

Untuk layak, anggota ATM mesti berkhidmat sekurang-kurangnya selama enam bulan dalam mana-mana pembentukan atau unit ATM semasa 1 Jan 1963 hingga 31 Dis 1965 bagi operasi dalam konfrontasi; 1 Jan 1969 hingga 2 Dis 1989 untuk operasi menentang Parti Komunis Malaya (PKM) atau 1 Jan 1969 hingga 17 Okt 1990 untuk operasi terhadap Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU).

Sementara itu, penerima anugerah PJM, Kapten (B) Datuk Dr Amarjit Singh Gill, 65, yang menyertai tentera pada 1976, berkata beliau telah berkhidmat 15 bulan di kem berlainan berhampiran sempadan Malaysia-Thailand dan sewaktu bertugas beliau sentiasa diiringi dalam kereta berperisai atau diturunkan dari helikopter.

Beliau berkata satu daripada kem utama itu ialah di Gubir, Kedah yang beliau terbabit dalam operasi Op Gonsales II untuk mengusir pengganas komunis.

"Saya bersimpati ramai yang menawarkan diri untuk berkhidmat kepada negera ketika insurgensi, tetapi berakhir dengan kudung kaki atau hilang anggota badan dan nyawa," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Jaswant berkata ramai doktor tentera yang layak menyertai Persatuan Pegawai Veteran Kor Kesihatan Angkatan Tentera dan untuk itu mereka harus menghubungi Setiausaha persatuan Lt Kol Dr Victor Feizal Abd Shatar di talian 012-3995912 atau e-mel: [email protected].

Tentera, Doktor

Artikel Berikut

Artikel Lain