suria

Kerajaan Persekutuan Jadi Pencelah Dalam Usul Gerakan Cabar Hudud

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan untuk menjadi pencelah dalam permohonan parti Gerakan mendapatkan kebenaran mencabar kesahihan undang-undang hudud Kelantan di bawah perlembagaan.

Panel lima hakim diketuai Hakim Tan Sri Ahmad Maarop membenarkan permohonan kerajaan Persekutuan selepas peguam Gerakan, Harpal Singh Grewel dan peguam kerajaan negeri Kelantan, Raja Ahmad Mohzanuddin Shah memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak membantah permohonan itu.

Turut bersidang hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zainun Ali, Datuk Ramly Ali, Datuk Azahar Mohamed dan Datuk Zaharah Ibrahim.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kerajaan Persekutuan memberitahu mahkamah bahawa kerajaan Persekutuan mahu mengambil bahagian dalam permohonan Gerakan itu.

Perkara itu kemudiannya dibawa untuk pengurusan kes di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Persekutuan Khainur Aleeza Ismail selepas Harpal Singh memaklumkan mahkamah tarikh perbicaraan pada 15 Okt yang ditetapkan mahkamah sebelum itu bagi mendengar permohonan Gerakan tidak sesuai kerana peguam utamanya Datuk Gopal Sri Ram sibuk pada hari itu.

Khainur Aleeza kemudian menetapkan permohonan bagi kebenaran untuk mencabar kesahihan undang-undang hudud di bawah perlembagaan pada 20 Okt.

Beliau juga memerintahkan semua pihak dalam perkara itu untuk mengemukakan penghujahan bertulis dan dokumen mahkamah yang lain menjelang 6 Okt.

Timbalan Ketua Pemuda Gerakan Andy Yong berkata mereka juga memohon supaya Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria menarik diri daripada mendengar perkara itu memandangkan beliau adalah penasihat kepada Mahkamah Syariah Kelantan.

Sebelum itu, Yong memberitahu pemberita, Gerakan tidak membantah permohonan kerajaan Persekutuan untuk menjadi pencelah kerana menurutnya Peguam Negara berhak untuk campur tangan kerana ia membabitkan isu perlembagaan.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang menyokong afidavit itu menyatakan kerajaan Persekutuan mahu menjadi pencelah dalam perkara itu kerana pengisytiharan yang dibuat oleh Gerakan melibatkan isu perlembagaan dan juga kesahihan undang-undang yang digubal Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Katanya asas permohonan Gerakan untuk mencabar kesahihan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud yang dipinda dan diluluskan DUN Kelantan pada 19 Mac tahun ini.

Mohamed Apandi berkata permohonan Gerakan adalah untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah mengikut Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan yang dibaca bersama Perkara 128 (1) (a) Perlembagaan Persekutuan.

Katanya menurut Gerakan, DUN Kelantan tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal Seksyen 4 hingga Seksyen 34 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang berada di bawah bidang kuasa eksklusif Parlimen untuk menggubal mengikut Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan.

Tiga anggota Gerakan iaitu Tuan Mat Tuan Wil, Soh Hoon Lee dan Chung Mon Sie memfailkan saman permohonan itu pada 8 Mei tahun ini bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk mencabar kesahihan undang-undang hudud di bawah perlembagaan.

Mereka menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden dalam notis usul itu.

Mahkamah Persekutuan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain