suria

NUS Antara 15 Universiti Terbaik Dunia, UM Di Tangga Ke-146

UM menduduki ranking ke-146 universiti terbaik dunia.

PETALING JAYA: Dua universiti di Singapura disenaraikan dalam kelompok 15 universiti terbaik dunia.

Senarai terbaharu itu dikeluarkan QS World University Ranking bagi tahun 2015/16.

National University of Singapore (NUS) disahkan sebagai institusi Asia terkemuka yang menduduki ranking ke-12 manakala Nanyang Technological University ke-13.

Sebagai perbandingan, institusi pengajian tinggi terkemuka negara menduduki tangga ke-150 dalam kalangan universiti terbaik dunia.

Namun, dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, kedudukan Universiti Malaysia (UM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meningkat dalam kelompok 100 buah universiti terbaik dunia.

Ketua Penyelidikan QS, Ben Sowter berkata, UM menunjukkan peningkatan apabila menduduki ranking ke-146 sekali gus kekal sebagai institusi No.1 di Malaysia.

USM pula meningkat sebanyak 20 kedudukan iaitu daripada tangga ke-309 pada tahun lalu kepada tangga ke-289 tahun ini.

Sementara itu, Universiti Putra Malaysia (UPM) naik 45 anak tangga daripada tangga ke-376 (2014) ke kedudukan 331 (2015).

Universiti Utara Malaysia (UUM) pula adalah kemasukan terbaharu dengan berada di kedudukan ke-701.

Di Malaysia, Sowter berkata terdapat trend peningkatan dan penurunan tetapi secara keseluruhannya, Malaysia menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Katanya, kekuatan IPTA di Malaysia adalah dalam bidang sains teknikal dan sains sosial.

"Walaupun terdapat beberapa kejayaan, perlu ada ruang untuk penambahbaikan dalam semua indikator yang kita pertimbangkan," katanya.

QS World University Ranking merupakan kedudukan universiti terbaik dunia yang dikeluarkan secara tahunan dengan melibatkan 891 universiti pada tahun ini.

Sowter berkata kedudukan tersebut dibuat berdasarkan empat tonggak utama iaitu penyelidikan, pengajaran, pengantarabangsaan dan metodologi yang terdiri daripada enam indikator: reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah pelajar fakulti, pelajar antarabangsa dan fakulti antarabangsa.

Kementerian Pengajian Tinggi berkata secara keseluruhan, lima buah universiti penyelidikan di negara ini masih berada dalam kelompok 1% universiti terbaik dunia.

Menurut kementerian itu, ia akan meneruskan usaha untuk meningkatkan kualiti akademik universiti tempatan melalui beberapa langkah seperti meningkatkan nisbah pelajar dan pensyarah, meningkatkan bilangan pensyarah antarabangsa dan meningkatkan kualiti penyelidikan dan penerbitan supaya menjadi rujukan antarabangsa. 


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain